Showing posts with label malay history. Show all posts
Showing posts with label malay history. Show all posts

Saturday, January 29, 2011

About History

1. Sejarah menceritakan apa yang telah berlaku dahulu kepada sesuatu negara atau bangsa. Tidak semua yang diceritakan diasaskan kepada fakta yang benar-benar berlaku. Tiap negara dan tiap ahli sejarah mengutamakan kepentingan negara apabila menulis berkenaan sejarah yang dilalui oleh negara masing-masing.

2. Demikian penulis sejarah British apabila menulis berkenaan pertempuran perang di Waterloo mendakwa bahawa pertempuran itu telah selesai dimenangi oleh Duke of Wellington, Jeneral yang mengetuai tentera British sebelum tentera Jerman yang diketuai oleh Blucher sampai ke Waterloo untuk membantu Wellington.

3. Ahli sejarah Jerman pula menulis bahawa Wellington hampir kalah di Waterloo apabila Blucher sampai dan menyelamatkan tentera British dan seterusnya memberi kemenangan kepada tentera gabungan Jerman dan British.

4. Banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing.

5. Kita jarang membaca dalam buku sejarah Barat bahawa negara Sepanyol ditawan dan dikuasai orang Islam selama 800 tahun, atau kekalahan teruk tentera British di Gallipoli, Turki, di tangan tentera Turki pimpinan Mustafa Kamal.

6. Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.

7. Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu.

8. Dan banyaklah lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif, sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis maka tidak ada pelajaran yang akan diperolehi penuntut.

9. Sebaliknya satu daripada hasil dari matapelajaran sejarah ialah kita lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan-kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat.

10. Kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali".

11. Kita semua belajar dari pengalaman. Jika zaman ini lebih baik iklimnya daripada dahulu sebabnya ialah kerana kita tidak amalkan kesilapan-kesilapan dahulu. Kita telah belajar dari pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian dari sejarah.

12. Jika kita lupakan atau ketepikan pengalaman dahulu yang kita alami tak dapat tidak pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak akan menjadi lebih baik.

13. Saya telah baca buku teks sejarah dan saya dapati banyaklah peristiwa yang penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku-buku ini.

14. Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran.

15. Oleh kerana semua ini maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar.

Monday, January 17, 2011

Tengku Kudin

Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin merupakan anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin.

Tunku Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Tunku Kudin, tinggal di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang menentang angkatan Thai semasa perang Musuh Bisik yang telah meletus sejak 1821.

Orang-orang Thai yang menguasai di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Thai ini dan menyelamatkan Tunku Kudin.

Pada suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang upahan Thai dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Thai bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.

Tunku Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak, rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam menuntut bela.

Orang-orang Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Thai. Jumlah orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak kurang dari 5000 orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan, angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi yang turut menghantar bantuan.

Angkatan Thai yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu. Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Thai di Kota Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri, pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.

Orang-orang Thai telah berundur ke Alor Ganu 15 batu dari Kuala Kedah mengikut Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Thai. Di Alor Ganu orang-orang Thai bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar ke Legor menyusul bantuan.

Kejayaan Tunku Kudin menawan kembali Kota Kuala Kedah rupanya menjadi satu kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun 1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun bangsa Thai, Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri Kedah yang telah menjadi Wilayah Thai.

Sebagai membuktikan kepada kerajaan Thai bahawa Inggeris adalah satu bangsa yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.

Angkatan Thai menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan Thai. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.

Dalam satu pertarungan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut bangsa Thai di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan Thai telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” milik Inggeris telah tiba entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan Melayu yang ada. Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan” ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.

Sebelum ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu bangsa Thai sentiasa dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu. Hampir seribu orang-orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal “Wolfe” berkelampong ke hulu ke hilir berminggu-minggu di laut Kedah selepas peristiwa itu.

Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota.

Angkatan Melayu yang di ketuai oleh Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku Kudin. Angkatan Tunku Sulaiman telah ditahan dan di arah dengan sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh 4 buah kompeni dari Madras Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.

Kota Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu. Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera “Union Jack”.

Kota Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai, diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.

Kumpulan yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma 30 orang lagi. Mereka ini telah berjuang beberapa hari menangkis serangan-serangan tentera Thai semata-mata hanya dengan keberanian dan kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup kakitangan yang boleh mengawasi.

Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-

Pulau Sembilan tinggal delapan,

Satu merajuk ke Kuala Kedah;

Sudah nasib perminta badan,

Kita di bawah kehendak Allah

Maka pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Thai dari Legor telah tiba di Kuala Kedah: 7000 tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.

Tunku Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak diketahui lagi, mereka berpelok-pelok dan kedengaran mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama sendiri jangan mati dibunuh bangsa Thai.

Angkatan Thai menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Thai kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan 30 yang terakhir dari angkatan Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Thai tidak dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan dan lima belas hari.

Cerita Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda, kemudian ditatang oleh panglima perang bangsa Thai yang paling tua, sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Thai.

Raja Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya “Mana badannya?”. Panglima Perang Thai menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.

Entah benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.

Akhirkata :

Kisah ini berdasarkan karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.

Penulis yang mencatat


Copied from : HULUBALANG BANI JAWI

Tuesday, December 22, 2009

Kota Kuala Kedah


Dalam memperkatakan tentang sambutan kemerdekaan yang ke-52, mari kita sama-sama merenung kembali kisah rakyat Kedah menentang penjajah SIAM. Jika ingin dihuraikan sepenuhnya kisah tersebut memanglah amat panjang ceritanya (hampir 4 abad atau mungkin lebih). Oleh itu apa yang dipaparkan ini hanyalah tertumpu kepada Sejarah Kota Kuala Kedah yang telah menjadi saksi orang Melayu menentang penjajah SIAM.

Kota Kuala Kedah terletak di muara Sungai Kedah kira-kira 10km dari bandaraya Alor Setar. Berbentuk segi empat, ia berada di utara tebing sungai Kedah, di mana tembok sebelah barat mengadap Selat Melaka, selatan tembok mengadap sungai mengahala ke Pekan Kuala Kedah, utara tembok mengadap kawasan paya.


Manakala timur tembok mengadap perkampungan nelayan dan sawah padi. Kawasan tembok yang mengadap daratan dikelilingi pula dengan parit yang dikenali dengan Alor Melaka. Ketika berfungsi sebagai markas ketenteraan, dibina istana raja, rumah pengawal, kantin, meriam dan pondok-pondok atau khemah untuk askar. Pintu utama pula mengadap sebelah timur Alor melaka. Setiap penjuru kota ini dikelilingi dengan meriam-meriam kecuali di tembok yang menghadap paya.



Pintu-pintu di sekeliling kota

Ironinya, kota yang menjadi saksi kepada perjuangan orang melayu dalam memerdekakan negeri Kedah bermula sebagai pertahanan hadapan bangsa penjajah terawal di tanah melayu iaitu Portugis. Nama asal kota tersebut ialah Kota Kuala Bahang dan diasaskan oleh Sultan Sulaiman Syah (1602-1619) dengan bantuan Portugis. Dari segi bentuk yang bersegi-empat menunjukkan kota ini pada awalnya dibina berfungsi lebih sebagai kilang atau gudang untuk tujuan perdagangan berbanding sebagai kota pertahanan tentera yang digunakan oleh pihak Portugis sendiri. Ia juga dibina agar tidak mudah terbakar. Malangnya, apabila ia dilihat sebagai kota pertahanan Portugis, ia juga menjadi sasaran utama musuh Portugis ketika itu, Acheh. Pada tahun 1619, Sultan Mahkota Alam dari Acheh telah menyerang kota tersebut dan menghalau Potugis dari situ. Mahkota Alam juga telah menakluk seluruh negeri, menawan 7000 rakyat termasuk Sultan Kedah sendiri dan membawa pulang mereka ke Acheh (rujuk kisah Puteri Lindungan Bulan).

Pada tahun 1650, kerajaan Kedah telah membeli 30 pucuk meriam dari Portugis untuk menguatkan lagi benteng pertahanan kota ini. Ia ternyata berhasil pada kurun berikutnya ketika perang saudara antara Sultan Muhammad Jiwa dan adiknya yang berhasrat untuk merampas kuasa iaitu pada tahun 1724. Sultan dibantu oleh Pahlawan Bugis iaitu Daeng Parani yang berkekuatan 62 buah perahu perang dari Riau dan Selangor manakala adik sultan dibantu oleh Raja Kechil dan pengikutnya dari Minangkabau untuk menghalau Bugis dari Kedah.

Raja Kechil berjaya menawan Kota Kuala Kedah tetapi bantuan yang tiba dari abang Daeng Perani, iaitu Daeng Merewah berjaya menghalau Raja Kechil dan pengikutnya keluar dari Kedah dan kembali ke Siak. Perang tersebut mengambil masa selama 2 tahun dan mengakibatkan kemusnahan negeri Kedah.


Meriam Badak Berendam,
terletak di celah runtuhan kota dan berada di bawah aras laut.
Juga dipercayai kononnya berpenunggu di mana setakat ini ia tidak dapat diubah ke tempat lain..
Wallahualam


Dalam tahun 1771, orang-orang bugis sekali lagi memainkan peranan dalam tampuk pemerintahan negeri Kedah apabila mereka memihak kepada kumpulan pemberontak untuk menggulingkan sultan. Mereka berjaya menakluk Kota Kuala Kedah dan merampas 300 pucuk meriam pelbagai saiz dalam serangan tersebut. Bagaimanapun, Sultan berjaya merampas kembali Kota tersebut dengan bantuan pedagang Inggeris, Kapten Francis Light. Kapten Light berjanji akan menggunakan Kota tersebut untuk melindungi negeri Kedah dari serangan musuh, terutamanya SIAM. Bagaimanapun janji tersebut tidak pernah ditepati di mana mereka pula yang bersekutu dengan Siam.




Deretan meriam yang masih ‘setia’ mengawal kota

Pada tahun 1771, Sultan Abdullah Mukaram Shah bercadang untuk menguatkan lagi kota ini dengan membeli meriam-meriam yang lebih besar seperti yang digunakan oleh musuh-musuhnya, Siam dan Bugis. Dinding kota diperkuatkan dengan batu-bata yang lebih kukuh. Ciri-ciri yang lebih moden seperti lubang untuk menempatkan senapang dan meriam juga dibina pada kota ini. Meriam-meriam yang lebih besar dibeli dari Acheh, Minangkabau dan Brunei. Pembinaan siap sepenuhnya pada tahun 1780.


Angkatan Siam





Ancaman pertama dari Siam menjelma pada petang Ahad 12 November 1821 bilamana satu angkatan perang dari Siam yang tidak diketahui tujuannya belayar ke Kuala Kedah. Mereka disambut dengan meriah oleh Bendahara Dato' Paduka Maharaja Sura. Semasa Panglima Siam, iaitu Raja Ligor Phya Buri Sakmuton dibawa melawat sekitar Kota Kuala Kedah beliau secara tiba-tiba mengarahkan askarnya menyerang para pengawal di dalam kota tersebut. Maka berlakulah pertempuran hebat di dalam kota itu. Akhirnya angkatan Siam berjaya menawan kota tersebut. Angkatan perang Kedah bersama sultan terpaksa berundur dan bertahan di Pulau Pinang. Di sini, mereka merancang strategi untuk merampas kembali negeri Kedah dari Siam.


Bersedia membedil musuh yang datang dari arah laut
Pada tahun 1831 putera sultan sendiri, Tengku Kudin telah mengetuai 3000 angkatan perang orang Melayu dari Prai telah menyerang Siam di Kedah dan menghalau mereka jauh hingga ke sempadan Siam. Kerajaan Siam dan British telah mengisytiharkan orang-orang melayu ini sebagai perompak, lanun dan pengganas. Kemenangan angkatan Kedah tersebut tidak lama di mana mereka kembali diasak Siam dan terpaksa berundur dan bertahan di kota Kuala-Kedah. Kapal-kapal perang British pula mengepung sepanjang persisiran pantai Kedah manakala tentera Siam menyerang dari darat. Kekebalan benteng Kota Kuala-Kedah menyebabkan pihak Siam terpaksa membina menara tinggi untuk menembak orang melayu di dalam kota tersebut. Setelah bertahan selama 3 bulan dan bertempur menentang 7500 askar dan 3000 gajah dari Siam, Kota Kuala-Kedah akhirnya jatuh ke tangan Siam. Tengku Kudin sendiri terbunuh dalam pertempuran tersebut dan kepalanya telah dihantar ke Bangkok.

Pada tahun 1838, sekali lagi angkatan perang Kedah diketuai oleh seorang lagi kerabat sultan, Tunku Mohammad Saad yang berkekuatan 10,000 askar dan 50 perahu perang dilengkapi meriam ringan telah mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora (Songkhla). Mereka juga berjaya membebaskan Patani dari naungan Siam buat seketika. Mereka bertahan di Songkhla sementara menunggu musim monsun tiba di mana bantuan askar melayu dari negeri2 sekitar dijangka tiba. Orang Eropah yang berkedudukan tinggi (gentry) di Pulau Pinang menolong baginda dengan menyediakan senjata dan bekalan. Tetapi tidak lama kemudian Kerajaan Negeri Selat memberi bantuan kepada Siam. Angkatan Tunku Muhammad sekali lagi terpaksa berundur dan bertahan di Kota Kuala-Kedah buat kali terakhir.


Peluru Meriam yang ditemui sekitar Kota

Bantuan dari Bangkok tiba bersama 15000 tentera dilengkapi senjata yang lebih moden, meriam dan gajah menyerang kota dari arah darat. Dari sebelah laut, kapal perang British HMS Hyacinth yang berkekuatan 18 laras meriam mengepung dari laut. Kapal tersebut terpaksa berlabuh jauh dari pantai untuk mengelakkan bedilan meriam dari dalam kota kuala kedah. Kapal tersebut turut diiringi oleh 3 buah lagi kapal perang yang lebih kecil iaitu HMS Emerald, HMS Pearl dan HMS Diamond.



Pada 19 Mac 1839 pekan Kuala-Kedah dikuasai sepenuhnya oleh askar Siam dan penembak hendap mereka ditempatkan di setiap sudut pekan tersebut. Orang Melayu yang ada ketika itu semuanya dibunuh dengan kejam. Menyedari harapan untuk menang adalah tipis dan kota akan jatuh ke tangan Siam pada bila-bila masa saja, pada malam tersebut orang melayu dibantu oleh askar upahan Sepoi membuat serangan berani mati ke atas kedudukan Siam di pekan tersebut. 15 askar Sepoi melepaskan tembakan bantuan ke arah askar Siam. Sementara itu saki-baki orang melayu yang tinggal diarahkan menyelamatkan diri dengan berenang ke arah kapal-kapal Inggeris. Kapten dan para kelasi kapal2 tersebut yang terdiri kebanyakannya dari orang melayu Negeri-negeri Selat turut merasa simpati di atas apa yang terjadi dan terpaksa menyelamatkan orang melayu yang berenang ke kapal-kapal tersebut..



Angkatan Tunku Muhammad yang bertahan di dalam kota hanya tinggal 200 orang. Menyedari mereka dikepung dari setiap sudut dan kemungkinan untuk menang adalah tipis, orang Melayu ketika itu terpaksa berjuang habis-habisan. Pada Subuh 20 Mac 1839, Kota Kuala-Kedah berjaya ditawan sepenuhnya oleh Siam dan kesemua mereka yang mempertahankan kota tersebut turut terkorban. Mulai dari tarikh tersebut, bedilan dari meriam-meriam dari kota tersebut tidak lagi kedengaran sehinggalah ke hari ini.

Sultan Ahmad Tajuddin yang semakin tua masih tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali negerinya. Setelah cara ketenteraan gagal, baginda mencuba pula cara berdiplomasi. Baginda telah menghantar putera bongsunya, Tunku Dai untuk mengadap King Rama III. Dalam pertemuan tersebut, Tunku Dai berjanji akan mengakui kedaulatan Siam dengan syarat Sultan Kedah dikembalikan takhtanya.


Setelah berperang selama hampir 21 tahun, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipulihkan takhtanya pada Jun 1842. Baginda telah kehilangan Perlis (diperintah rajanya sendiri) dan Setul/Satun (dimasukkan ke dalam jajahan Siam) tetapi telah berjaya menyelamatkan negeri Kedah dari diperintah terus oleh Siam seperti yang terjadi ke atas Patani dan berjaya mengekalkan institusi raja melayu sehinggalah ke hari ini. Baginda mangkat pada 1 Januari 1845.

Bagi pihak British pula, inilah pengalaman pertama yang mereka rasai berperang dengan orang Melayu sehinggakan Kapten Sherard Osborn, Pegawai Tentera laut British ketika perang Kedah-Siam 1838 telah membuat kenyataan berikut:
"Seperti anjing… pribumi (yakni org India) di sepanjang persisir pantai semenanjung India menjilat tangan yg mendera mereka;
Tetapi tidak bagi orang Kedah! dan kita orang Inggeris seharusnya menjadi yang pertama memuliakan bangsa yang tidak tunduk kepada kekejaman"



Source:

Thomson, John Turnbull, "Glimpses Into Malayan Lands", Oxford University Press 1984 (first published by Richardson and Company, 1864). RM 22.00

'The Blockade of Kedah in 1838: A Midshipman's Exploits in Malayan Waters' by Sherard Osborn (1857), reprinted by Oxford University Press (1987) (ISBN 0 19 588860 X). Price RM 52.80





Perang Kedah - Siam

Perang Kedah - Siam

Bukti sejarah menunjukkan Kedah sebagai negeri tertua di negara ini. Ia telah berkembang seawal-awalnya abad ke-13, dan bersama-sama dengan Patani diidam-idamkan oleh Siam. Ia juga sebuah pusat Islam dan sebuah pelabuhan dakwah bagi pedagang Arab dan Parsi.

Dato Sir Roland Braddell menyatakan dalam tulisannya yang terkenal, "Most Ancient Kedah" bahawa Kedah mempunyai dakwaan yang betul dan tidak boleh dicabar yang ia merupakan negeri tertua dalam Persekutuan Malaya (sekarang Malaysia). Ini akan memerlukan sebuah buku untuk membincangkan dengan lengkap semua bukti atas dakwaan ini.

Kedah di sepanjang abad ke-13 adalah sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai pelabuhannya yang terkenal di Sungai Bujang. Ahli-ahli sejarah tidak dapat mengesan dalam satu cara yang memuaskan tentang sejarah Kedah dan hubungannya dengan jiran-jirannya yakni Siam (sekarang Thailand) dan Patani (bekas Kesultanan Melayu Patani: pada tahun 1791 Patani ditakluki oleh Siam dan namanya ditukar kepada Changwat Pattani).

Seperti Sungai Bujang yang memberikan kepada Kedah kemasyhuran purbanya sebagai pelabuhan di Lautan Hindi, demikian juga Sungai Patani (dengan kualanya seluas sebuah teluk dan dalam pula) di Laut China Selatan. Bahagian atasnya menjangkau Sungai Patani berhampiran dengan Empangan Muda.

Sungai Patani adalah satu jalan perdagangan purba dari Patani di pantai timur hingga ke Sungai Bujang di pantai barat. Jalan ini dikenali sebagai penarekan".

Jalan ini kemudian dilupakan apabila jalan laluan darat dari Kedah ke Singora (Songkla) dibina. Tetapi di sepanjang abad ke-14, sejarah Kedah dibayangi oleh Siam yang mula mengumpulkan kuasa dan kekuatan politik dan meluaskan kerajaannya. Siam menganggap Kedah dan Patani sebagai naungannya (vassal).

Sepanjang abad ke-15, Kedah dan Patani dianggap pusat Islam di kawasan ini dan tempat dakwah bagi orang Arab dan Parsi. Mereka datang berdagang dan mengajar serta menyebarkan Islam. Di sepanjang masa ini Kedah adalah sebuah negeri yang luas yang menjangkau dari selatan lembangan Sungai Trang di utara hingga ke lembangan Sungai Kurau di selatan. Chenak (Chana) juga adalah sebahagian daripada Kedah. Sungai Thepa menandakan sempadan Kedah dan Patani.

Sumber maklumat ini ialah Perjanjian Keamanan dan Persahabatan (the Treaty of Peace and Friendship) yang ditandatangani pada 1 Mei 1791 oleh Tunku Sheriff Mohamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Telibone. Dengan melihat peta, Pulau Telibong (sekarang dieja dengan betul sebagai Telibon) adalah bertentangan dengan Trang.

Pada pertengahan abad ke-18, Britain dan Perancis telah meluaskan sfera pengaruh mereka di Asia Tenggara. Kapten Francis Light bagi pihak Syarikat Hindia Timur (the East India Company) mendapat pelepasan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah pada 1786.

Pada 14 tahun kemudian George Leith berunding untuk mendapatkan pelepasan sejaluran wilayah yang bertentangan dengan Pulau Pinang yang dikenali sebagai Province Wellesley. Demikian dimasukkan dalam Perjanjian Keamanan, Persahabatan dan Perikatan pada 1800. Syarikat Hindia Timur membayar sewa tahunan $10,000 ($6,000 untuk Pulau Pinang dan $4,000 untuk Province Wellesley).

Siam menuntut kekuasaannya (suzerianty) ke atas Kedah tetapi Sultan enggan mengakuinya. Seorang Inggeris menyatakan, "Adalah tidak nampak sama ada melalui tulisan atau tradisi yang Kedah diperintah oleh undang-undang atau adat Siam."

Pada 1821, Siam menjajah Kedah tetapi Inggeris menolak untuk membantu Kedah walaupun pada hakikatnya mereka terikat untuk berbuat demikian oleh kerana mereka telah membuat perjanjian dengan Sultan Kedah. Siam menduduki Kedah sehingga 1841.

Di sepanjang jangka masa ini dua perang utama untuk menghalang pendudukan Siam telah dilakukan: pada 1831 oleh Tunku Kudin (nama sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin) dan pada 1839 oleh Tunku Mohammad Saad.

Tunku Mohammad Saad telah mengusir Siam keluar dari Kedah melepasi Singora (Songkhla). Tentera baginda juga menduduki Patani. Orang Eropah yang berkedudukan tinggi (gentry) di Pulau Pinang menolong baginda dengan menyediakan senjata dan bekalan.

Kerajaan Negeri Selat memberi bantuan kepada Siam dan Siam memperolehi semula Kedah.

Selepas ini Kerajaan Negeri Selat berunding dengan Siam untuk pemulihan (restoration) Kedah kepada Sultan yang kemudian disingkirkan ke Melaka di bawah Perjanjian Burney 1826. Burney mempunyai sikap yang negatif terhadap Kedah.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipulihkan takhtanya pada Jun 1842 dan mangkat pada 1 Januari 1845.




"Maka satu kemalangan…yang dirasai oleh orang Melayu ialah yang dibawa oleh Harold MacMichael. Tatkala itu orang Melayu belum lagi bersuara atau membantah. Maka umat Melayu Kedahlah yang kuat sekali membantah pada masa itu. Hingga akhirnya hal ini telah merebak ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pendirian orang Kedah sudah mashyur iaitu pendirian untuk kebebasan. Saya sangatlah berasa sombong kerana orang Kedah ialah tulang belakang umat Melayu Semenanjung."
- Dato Onn Jaafar

Syair Sultan Maulana

Syair Sultan Maulana

Syair ini merupakan salah sebuah teks sastera tradisional yang bercorak sejarah terkarang di Kedah tetapi tidak diketahui siapa penulisnya kerana tidak tercatat di dalam teks tersebut. Walaubagaimanapun penulis pernah ikut serta angkatan Kedah membantu Siam menentang tentera Burma yang menawan Pulau Salang atau Phuket (1810) kerana segala babak kisah peperangan yang dikisahkan dalam syairnya itu amat terperinci.

Kajian ilmiah terhadap syair ini pernah dilakukan oleh Prof. Cyrill Skinner dan Prof. Dato' Muhammad bin Hashim dari Universiti Malaya. Bahagian awal syair ini mengisahkan kerajaan Siam telah memaksa Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845) supaya mengirimkan tenteranya ke Patani untuk menumpaskan pemberontakan patani terhadap Siam (1809 - 1810). Di dalam perjalanan menuju ke Patani melalui Padang Terap, pemimpin pasukan Kedah itu memperlihatkan kebijaksanaannya dengan melambatkan perjalanan mereka, berhenti di banyak tempat dengan tujuan tidak mahu melibatkan diri menentang orang-orang Patani yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Akhirnya apabila mereka tiba di Patani, pemberontakan tersebut telah pun dihapuskan oleh Siam.

Dalam bahagian berikutnya barulah dikisahkan penglibatan tentera Kedah dalam peperangan menentang pendudukan Burma di Pulau Salang (1810) bersama dengan beberapa angkatan dari negeri-negeri lain di sekitar Segenting Kra, selatan Thailand. Antaranya termasuklah Mardulung, Setol, Terang, Telibung dan Singgora. Pengarang mengisahkan betapa bentuk perahu perang orang melayu Kedah dan Telibung lebih kukuh, kemas dan lengkap jika dibandingkan dengan perahu perang Siam yang dianggapnya buruk dan tidak berfaedah seperti yang dinyatakan dalam rangkap berikut :

"Perahu Melayu Telibung Kedah,
Lima puluh dibilang sudah,
Lainnya Siam haram zadah,
Perahu tiada memberi faedah".

Dalam syair ini penyair cuba menonjolkan watak Bendahara (wazir) Kedah yang berjaya menyusun strategi perang untuk angkatannya disamping melaporkan keberanian setiap panglima-panglima Kedah yang menyebabkan tentera Burma dapat di tewaskan. Kejayaan angkatan Kedah yang mengatasi pasukan perang dari negeri-negeri lain itu menyebabkan kerajaan Siam menganugerahkan 'Chao Pharaya' (Maharaja) kepada Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II.

Penyair juga menunjukkan karya syairnya itu kepada rajanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang digelarkannya sebagai "Sultan Maulana" yang diangapnya sebagai raja yang penuh daulat dan berjaya mempertahankan Kedah dari segala ancaman Siam. Waktu itu baginda telah berpindah dari Istana Kota Star dan bersemayam di Istana Kota Kuala (Kuala Kedah) seperti yang dinyatakan dalam bahagian mukadimah (awal) syairnya iaitu :

"Dengarkan tuan suatu madah,
Kisah baginda Sultan Kedah,
Negerinya ramai terlalu indah,
Isi negeri semuanya mudah.

Ismu baginda Sultan Maulana,
Ahmad Tajuddin gelar rencana,
Ibni Sultan Abdullah yang ghana,
Bangsa di atas takhta kencana"

Menurut penyelidikan yang dilakukan setakat ini, paling awal syair ini di karang ialah pada 1812, setelah kembalinya angkatan perang Kedah dari Pulau Salang. Seperti juga dengan sifat atau ciri-ciri penulisan sastera lama Melayu yang lain, nama pengarang dan tarikh karya itu dihasilkan memang tidak dicatatkan.

Monday, December 21, 2009

Tunku Anom a freedom fighter

Helped win Kedah's independence from Siam


A Hero's Resting Place -- Tunku Anom's tomb at the edge of Kampung Pulau Pisang


Story by Elizabeth John


ABOUT eight kilometres from Kubang Pasu's present administrative centre of Jitra lies the rustic Kampung Pulau Pisang where clusters of rambutan hang red and tantalising from tall trees and feisty cockerels rule the narrow lanes that wind and find their way between old wooden houses.

Given this scene it might be almost unbelievable that this village was once the capital of a State called Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam whose ruler is credited with winning Kedah's freedom from the Siamese.

The story goes that when the Ligor (now Nakhorn Sri Tammarat) army of Siam attacked and took over Kedah in 1821, the Sultan of Kedah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845) was forced to flee first to Penang and then to Malacca. Several unsuccessful rebellions later, there did not seem much hope to wrestthe State from the Siamese until Tunku Anom hatched a clever plan.

Tunku Anom Tunku Abdul Rahman, the grandson of Tunku Ibrahim, Regent of Limbang and the nephew of Sultan Ahmad Tajuddin became well known after being selected as the chief of the delegation that sent tributes of Bunga Mas. In trying to recapture Kedah, the first step Tunku Anom took was to win the friendship of Phya Sina Nunchit who was the Siamese administrator of Kedah and the Ligor ruler's son. This Tunku Anom achieved by pretending to support Siam and Tunku Anom even gained a letter from the unsuspecting administrator recommending him to the ruler of Ligor.

While he was gaining the trust of Phya Sina Nunchit, Tunku Anom was also training Malay fighters in Gua Kerbau, Bukit Keplu which is located in present day Kodiang. Then, leaving his fighters to prepare for an assault on the Siamese in Kedah, Tunku Anom, armed with his recommendation letter, presented himself at the Ligor Court. Proving a loyal servant to the Ligor ruler and impressing with his skills, Tunku Anom also won the trust and admiration of the ruler.

While he was in Ligor, the Malay fighters launched their attack against the Siamese who were based in Alor Ganu, near Anak Bukit in Kedah. A struggling Nunchit despatched a letter to his father in Ligor seeking his assistance to put down the uprising. While support was sent to the aid of his son, the Ligor ruler offered to make Tunku Anom his representative in Kedah in the hopes of quelling the unrest there.

However Tunku Anom refused the offer, afraid that if he accepted the position, Kedah would forever be under the control of Siam. As the fighting continued, the Siamese army in Kedah again requested help but due to the rising cost of the war, the loss of lives and the onset of disease in the Siamese camp, the Ligor ruler finally relented and gave Kedah its freedom.

The tradition of sending Bunga Mas and Bunga Perak however continued but only as a sign of friendship.

Tunku Anom returned to Kedah a hero and for his bravery, was given control of 24 districts in the State, in an area called Kubang Pasu. He named it Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam and Pulau Pisang the administrative capital.

Over the years, Tunku Anom developed a reputation for being a just and kind leader and Pulau Pisang flourished as a centre of trade and the padi industry. Unfortunately little remains to remind us of the old Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Research papers in the State Library and Museum speak of a textile manufacturing centre that was set up near Pulau Pisang. Now this area is called Pulau Kain but there are no traces of the centre.

While Tunku Anom's tomb is well marked, Kampung Pulau Pisang has not been given the honour of a signboard telling of its part in the State's history. The Sungai Tunku Anom which was widened during Tunku Anom's reign also does not have a special signboard or markings to indicate that it is part of this fascinating story. Fortunately we still have some reminders in the form of old land grants issued during the existence of the State.

Tunku Anom ruled Kubang Pasu for 17 years and died in 1853. He was buried in Pulau Pisang, where his tomb can be seen to this day. It is said that Tunku Anom's grief over the death of his son, who had died before him, hastened the death of the ruler of Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.

Upon his death, Tunku Anom's grandson Tunku Ishak was installed as the new ruler of Kubang Pasu. However Tunku Ishak turned out to be cruel and refused to listen to his advisers. As support from the people waned, Tunku Ishak was forced to return Kubang Pasu to Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah III, Kedah's 23rd Sultan.