Wednesday, February 17, 2010

Peperangan Balat al Shuhada’ / Battle of Tours

Peperangan Tentera Bani Umaiyyah Cuba Menawan Perancis

Di bawah pemerintahan Khalifah Hisham Bin Abdul Malek, Abdul Rahman Al-ghafiqi dilantik menjadi Gabenor wilayah Andalusia. Dia dikenali sebagai pemimpin yang adil dan berwibawa selain seorang yang warak.

Selama dua tahun Gabenor Abdul Rahman Al-Ghafiqi mempersiapkan angkatan tenteranya bagi meneruskan misi menyebarkan Islam ke Eropah.Dia merancang untuk melancarkan satu serangan besar-besaran dan sepanjang tempoh berkenaan tentera Islam diarahkan melancar serangan berterusan ke pihak musuh sambil menantikan kedatangan angkatan tentera diketuai Abdul Rahman.

Akhirnya saat yang dinantikan tiba. Dengan kekuatan hampir 100 ribu tentera, Abdul Rahman mula menggerakkan misi jihad mereka. Matlamat mereka ialah Kota Arles yang terletak di tebing sungai Rhone. Kota Arles suatu ketika dahulu pernah memeterai perjanjian dengan umat Islam apabila mereka bersetuju untuk membayar jizyah tetapi selepas Al-Samah bin Malik Al-Khaulaani gugur di medan jihad, mereka telah mengkhianati perjanjian.

Di pinggir kota, tentera Islam telah bertempur dengan tentera musuh di bawah arahan Eudes, Duke Aquitania yang telah bersiap sedia menyekat kemaraan tentera Islam. Tentera Islam berjaya mengalahkan tentera musuh. Harta yang diperoleh sangatlah banyak.

(Duke Aquitania inilah yang telah memaksa tentera Islam berundur semasa Perang Toulouse pada 721Myang menyaksikan kematian gabenor Andalusia, Al-Samah).

Duke Aquitania berjaya melarikan diri dan kemudiannya mengumpulkan kembali bala tenteranya bagi menghadapi serangan tentera Islam yang seterusnya.

Tentera Abdul Rahman menyeberangi Sungai Garonnes dan telah berjaya menakluk ke seluruh kawasan Aquitania. Perang ini dikenali sebagai Battle of the River Garonne Semua perkampungan dan kota yang dilalui jatuh satu persatu ibarat daun kering yang jatuh ke bumi ditiup angin di musim luruh. Harta yang diperolehi sangat-sangat banyak. Mereka tidak pernah melihat atau mendengar harta yang sebanyak itu.

Tentera Islam terus mara dan cuba menakluk Kota Bordeaux, bandar terbesar Perancis ketika itu dan ibu kota bagi Aquitania. Peperangan sengit berlaku namun akhirnya kota ini jatuh juga ke tangan tentera Islam seperti kota-kota sebelumnya

Rentetan daripada itu, jatuhlah juga kota besar yang lain seperti kota Lyon, Besancon dan Sens. Kota Sens ini tidak sampai 100 batu dari kota Paris.

Penaklukan ini hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja dan ini telah membuka mata rakyat Perancis tentang bahaya yang akan dilalui. Seluruh Eropah turut gempar melihatkan hampir separuh kawasan selatan Perancis sudah ditakluk tentera Islam dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Kekalahan dan ancaman ini menyebabkan Duke Aquitania meminta bantuan daripada pihak Franks (satu kumpulan etnik Jerman Barat) pimpinan Charles Martel. Pada ketika itu, tentera Islam telah mara dan menakluk Kota Tours (kota yang paling padat dengan penduduk). Kota ini dianggap penting kerana mempunyai gereja yang indah, besar dan memiliki bahan bersejarah.

Charles Martel memberi syarat jika Duke Aquitania mahu pertolongannya, dia hendaklah tunduk kepada kerajaannya. Dek kerana terdesak takut kehilangan takhta dan tidak mahu nasibnya serupa seperti Luzarique si raja Sepanyol sebelum ini, Duke Aqutania setuju lalu bermulalah persiapan tentera Franks ini menghadapi tentera Islam.

Selama pemerhatiannya terhadap peperangan melibatkan tentera Islam di Iberia dan Aquitania, Charles percaya sepasukan tentera yang professional dan mahir, adalah lebih penting berbanding mengerahkan seluruh rakyat untuk berperang. Maknanya, umpama sepasukan komando yang mampu mengalahkan sebatalion musuh itu lebih baik dari mengorbankan beratus ribu tentera yang belum tentu lagi keberaniannya.

Charles telah membentuk sekumpulan tentera berjumlah leih kurang 30 ribu orang untuk dilatih sebagai pasukan elit yang mampu menghadapi asakan tentera berkuda tentera Islam yang amat digeruni itu.

Pada akhir Syaban tahun 104 hijrah bersamaan Oktober 732M, Abdul Rahman dan tenteranya menuju ke Kota Poitiers di mana di sinilah berlakunya satu perang yang dikenali sebagai Balat Al-Shuhada atau Battle of Tours. Pada ketika ini, tentera Islam berada di kemuncaknya tetapi pada masa yang sama bebanan harta rampasan perang yang ditanggung semakin bertambah,mencurah-curah ibarat hujan.

Inilah yang membimbangkan Abdul Rahman, kerana harta yang banyak ini akan mengganggu hati tentera Islam dan bakal mengugat kekuatan umat Islam. Abdul Rahman berhasrat untuk memerintahkan tenteranya untuk membuang harta itu tetapi beliau takut cadangannya tidak dapat diterima oleh mereka. Jadi, pilihan terbaik ialah meletakkan semua harta di dalam satu khemah khas di bahagian belakang markas sebelum peperangan meletus

Pasukan tentera Charles pula telah menggunakan secondary road dalam perjalannya ke medan perang untuk memintas tentera Abdul Rahman dan mengelakkan dikesan selain memberi kelebihan buatnya memilih kedudukan yang strategik.

Charles dan tentera Franks telah berkubu di kawasan yang terletak antara Kota Tours dan Poiters. Dalam peperangan ini, Charles telah membina posisi di kawasan lebih tinggi, dengan cerun yang landai yang mana ia akan memaksa tentera berkuda Abdul Rahman mendaki bukit berkenaan melalui tebing yang sukar.

Apabila Abdul Rahman tiba, dia melihat kedudukan tentera Franks yang strategik, memaksa beliau menangguhkan serangan selama beberapa hari kerana mahu memikirkan apa pilihan dan starategi terbaik untuk menyerang tentera Charles. Kedua-dua tentera saling berhadapan tanpa memulakan pertempuran.

Penangguhan ini sebaliknya memberi kelebihan buat pasukan Charles kerana dia dapat menambah kekuatan pasukannya melalui bantuan pasukan-pasukan infantry yang mula tiba.

Pada hari ketujuh, selepas Abdul Rahman melihat semangat tenteranya yang berkobar-kobar selain yakin dengan kemenangan akan berpihak kepada pihak muslimin, maka dia pun mengambil keputusan untuk memulakan serangan.
Selama tujuh hari mereka bertempur namun belum ada tanda siapa yang akan menang. Pada hari kelapan, tentera Islam melancarkan serangan besar-besaran ke pihak musuh.

Dalam suatu ketika, pasukan Charles yang terus bertahan menyekat serangan bertali arus pasukan berkuda tentera Islam akhirnya terpaksa berundur. Akhirnya benteng pertahanan tentera Charles berjaya dipecahkan dan melurulah tentera Islam dengan semangatnya membunuh tentera Franks yang lari bertempiaran.

Tentera Islam telah berjaya mengepung Charles yang dikelilingi tentera pengawalnya yang segera muncul bagi melindungi raja mereka daripada serangan pasukan Islam.

Rupanya ketika peperangan bermula, Charles telah mengirim sebuah pasukan tentera menuju ke base camp tentera Islam. Matlamatnya adalah mahu mengalih perhatian tentera Islam bila melihat kem mereka diserang dan harta rampasan mereka dicuri.

Ketika sedang dikepung inilah, pasukan berkenaan telah menyerang hendap kem tentera Islam dan mula membebaskan tawanan perang. Kem yang ketika itu kosong menjadi porak peranda.

Menyangkakan harta rampasan perang mereka dicuri pihak musuh, sebahagian besar tentera Islam meninggalkan medan perang dan bergegas kembali ke kem mereka. Arahan komander perang telah diingkari. Abdul Rahman terpaksa bergegas ke sana ke sini mengarahkan tenteranya kembali ke medan perang, lalu akhirnya dia terkepung oleh tentera Franks.

Tanpa gentar Abdul Rahman terus melawan dan berjuang. Tetapi kudratnya tidak dapat menampung serangan oleh tentera Franks yang ramai, dan dia pun syahid.

Mendengar sorak sorai tentera Franks yang menghebohkan kematian Abdul Rahman, tentera Islam mula goyah dan berundur. Charles kembali menyusun pasukannya kerana menyangka tentera Islam akan kembali menyerang, sehinggalah keesokan paginya dia terkejut bila mendapati tentera Islam telah berundur sepenuhnya kembali ke Andalusia.

Ketika jumlah korban sebenar perang ini tidak dapat dipastikan, sesetengah riwayat mendakwa Charles kehilangan 1500 tenteranya, manakal korban di pihak tentera Islam pula dianggarkan 10 ribu orang. (Namun riwayat ini datangnya dari sumber Kristian yang pastinya mahu memperbesarkan kehebatan pihak mereka)

Kejayaan Charles dalam Battle of Tours/ Balat As-Syuahada, telah menghentikan serangan tentera Islam dari Andalusia melalui Perancis. Selain ketiadaan panglima yang hebat selepas kematian Abdul rahman Al-Ghafiqi, kemelut politik di Damsyik turut membuatkan misi menawan Perancis terencat.

Berita tentang kekalahan di Balat al-Shuhada amat menyayat hati umat Islam. Seluruh tempat berkabung kesedihan menerima berita ini. Malah luka yang pedih ini masih terasa hingga kini. Bukan sahaja dirasai oleh umat Islam tetapi turut dirasai oleh cendikiawan Eropah.
Bagi mereka, kemenangan datuk nenek mereka mengalahkan umat Islam di Poiters merupakan satu bencana besar yang merugikan seluruh bangsa manusia. Suatu bencana yang memalapkan suatu tamadun.

Henry De Shamboone, Pengarah Majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis pernah menyebut tentang malapetaka di Balat Al Shuhada’ ini:

”Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban.”

”Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan terselamat daripada Mahkamah Taftish (mahkamah yang diwujudkan oleh Ferdinand dan Ratu Isabella untuk menghukum umat Islam Sepanyol dan memahat sejarah hitam bangsa manusia). Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun.”

”Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih berhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian,”

”Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”

Ada kalangan sejarawan berpendapat, sekiranya tentera Islam dapat menawan Perancis, maka seluruh Eropah ketika ini (German, Switzerland, Belanda, Belgium dll) telah menjadi sebuah negara yang diperintah orang Islam.

English version: Wikipedia

No comments:

Post a Comment