Syair Sultan Maulana
Syair ini merupakan salah sebuah teks sastera tradisional yang bercorak sejarah terkarang di Kedah tetapi tidak diketahui siapa penulisnya kerana tidak tercatat di dalam teks tersebut. Walaubagaimanapun penulis pernah ikut serta angkatan Kedah membantu Siam menentang tentera Burma yang menawan Pulau Salang atau Phuket (1810) kerana segala babak kisah peperangan yang dikisahkan dalam syairnya itu amat terperinci.
Kajian ilmiah terhadap syair ini pernah dilakukan oleh Prof. Cyrill Skinner dan Prof. Dato' Muhammad bin Hashim dari Universiti Malaya. Bahagian awal syair ini mengisahkan kerajaan Siam telah memaksa Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845) supaya mengirimkan tenteranya ke Patani untuk menumpaskan pemberontakan patani terhadap Siam (1809 - 1810). Di dalam perjalanan menuju ke Patani melalui Padang Terap, pemimpin pasukan Kedah itu memperlihatkan kebijaksanaannya dengan melambatkan perjalanan mereka, berhenti di banyak tempat dengan tujuan tidak mahu melibatkan diri menentang orang-orang Patani yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Akhirnya apabila mereka tiba di Patani, pemberontakan tersebut telah pun dihapuskan oleh Siam.
Dalam bahagian berikutnya barulah dikisahkan penglibatan tentera Kedah dalam peperangan menentang pendudukan Burma di Pulau Salang (1810) bersama dengan beberapa angkatan dari negeri-negeri lain di sekitar Segenting Kra, selatan Thailand. Antaranya termasuklah Mardulung, Setol, Terang, Telibung dan Singgora. Pengarang mengisahkan betapa bentuk perahu perang orang melayu Kedah dan Telibung lebih kukuh, kemas dan lengkap jika dibandingkan dengan perahu perang Siam yang dianggapnya buruk dan tidak berfaedah seperti yang dinyatakan dalam rangkap berikut :
"Perahu Melayu Telibung Kedah,
Lima puluh dibilang sudah,
Lainnya Siam haram zadah,
Perahu tiada memberi faedah".
Dalam syair ini penyair cuba menonjolkan watak Bendahara (wazir) Kedah yang berjaya menyusun strategi perang untuk angkatannya disamping melaporkan keberanian setiap panglima-panglima Kedah yang menyebabkan tentera Burma dapat di tewaskan. Kejayaan angkatan Kedah yang mengatasi pasukan perang dari negeri-negeri lain itu menyebabkan kerajaan Siam menganugerahkan 'Chao Pharaya' (Maharaja) kepada Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II.
Penyair juga menunjukkan karya syairnya itu kepada rajanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang digelarkannya sebagai "Sultan Maulana" yang diangapnya sebagai raja yang penuh daulat dan berjaya mempertahankan Kedah dari segala ancaman Siam. Waktu itu baginda telah berpindah dari Istana Kota Star dan bersemayam di Istana Kota Kuala (Kuala Kedah) seperti yang dinyatakan dalam bahagian mukadimah (awal) syairnya iaitu :
"Dengarkan tuan suatu madah,
Kisah baginda Sultan Kedah,
Negerinya ramai terlalu indah,
Isi negeri semuanya mudah.
Ismu baginda Sultan Maulana,
Ahmad Tajuddin gelar rencana,
Ibni Sultan Abdullah yang ghana,
Bangsa di atas takhta kencana"
Menurut penyelidikan yang dilakukan setakat ini, paling awal syair ini di karang ialah pada 1812, setelah kembalinya angkatan perang Kedah dari Pulau Salang. Seperti juga dengan sifat atau ciri-ciri penulisan sastera lama Melayu yang lain, nama pengarang dan tarikh karya itu dihasilkan memang tidak dicatatkan.
No comments:
Post a Comment