Showing posts with label Insurgency. Show all posts
Showing posts with label Insurgency. Show all posts

Saturday, January 15, 2011

Matinya Seorang Patriot

Ogos 1945…setelah Jepun menyerah kalah, Malaya berada dalam keadaan huru hara. Ramai penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mereka benar-benar mengharapkan ketibaan Tentera British dengan segera.


Dalam ‘void’ atau kekosongan inilah komunis mula mengatur langkah. Mereka memaksa penduduk kampung menyertai perjuangan menentang penjajah British yang akan kembali memerintah.


Ramai yang terpesong, terdesak dan didesak menyertai perjuangan komunis. Namun, tidak kurang yang menentang, berpegang teguh dengan pendirian ‘di mana bumi dipijak d situ langit dijunjung’.

Salah seorang yang berpendirian teguh ialah Hassan bin Abu Bakar.


‘Man Cilak’, ketua komunis Melayu/Banjar berasal dari Seri Lalang mendapat gelaran ‘Cilak’ kerana hanya sebelah matanya yang celik, yang sebelah lagi buta. Kebolehannya menghilangkan diri dalam sekelip mata menjadi bualan penduduk kampung dan anggota keselamatan - Jungle Squad dan SC (Special Constable) - ketika itu.


Dengan arahan ‘Man Cilak’ komunis memujuk peneroka ulung dan ketua kampung Seri Lalang untuk sama-sama mengangkat senjata menyertai perjuangan mereka. Namun Naib Hassan yang pernah dijadikan kawan berburu oleh Sultan Ibrahim tidak mengindahkan pelawaan, atau ugutan.

Naib Hassan pernah berburu dengan Sultan Ibrahim?


Kampung Seri Lalang tahun 30an dan awal 40an persis sebuah hutan dara atau virgin forest. Salah satu aktiviti kegemaran Sultan Ibrahim ialah menjerat binatang buas. Dan setiap kali baginda keluar Istana untuk pergi berburu, rumah Naib Hassan jadi persinggahan.


Suatu hari, ibu (anak sulung Naib Hassan) memanjat pokok untuk melihat Sultan dan bapanya menyelia pengeluaran sangkar ke jalan raya untuk di bawa ke istana di Johor Bahru. Apabila harimau yang terperangkap dalam sangkar mengaum, ibu yang masih sunti terjatuh dari atas pokok kerana terkejut.


Masa pemerintahan Jepun, rumah Naib Hassan tidak pernah digeledah oleh anggota tentera ‘Matahari Terbit’. Kenapa?


Di dinding rumah Naib Hassan tergantung ‘Azimat’ yang membuat tentera Jepun tunduk setiap kali mereka cuba mengganggu. Azimat itu berupa sekeping gambar Maharaja Jepun yang dihadiahkan oleh Sultan Ibrahim.


Oleh kerana Naib Hassan enggan menyertai perjuangan komunis, ‘Man Cilak’ memerintahkan balaci-balacinya menangkap Naib Hassan untuk di bawa ke dalam hutan dalam usaha mengubah pendiriannya.


Beberapa hari sebelum rancangan jahat ‘Man Cilak’ dilaksanakan, sekumpulan orang Cina yang anti komunis menasihatkan Naib Hassan agar meninggalkan kampung buat sementara kerana mereka telah mendengar berita tentang rancangan ‘Man Cilak’ dan orang-orangnya.


Sebagai orang Banjar tulen yang pernah berjuang menentang Belanda di Kalimantan, Naib Hassan enggan mengalah dan sanggup menghadapi sebarang kemungkinan. Dan kemungkinan itu datang beberapa hari kemudian.


Petang itu dia dijemput oleh anak tirinya bernama Usin untuk menghadiri mesyuarat disatu tempat yang terletak kira-kira 2 batu dari rumah.


Naib Hassan yang berusia lewat 40an mempunyai dua orang isteri. Isteri keduanya, ibu Usin adalah seorang balu yang dikahwininya semasa pemerintahan Jepun.


Malam itu Naib Hassan tidak pulang ke rumah. Isteri pertama (nenek) menyangka suaminya bermalam di rumah isteri kedua.


Esok petang, sedang isteri tua duduk termenug di hujung tangga, dia terlihat sekumpulan lelaki berjalan di hadapan rumah. Sedikit pun tidak di duga bahwa dalam kumpulan itu ada suaminya yang dipaksa oleh Usin untuk berjalan melewati dan melihat rumah buat kali terakhir.


“Itihi matuha taungut di watun tuh” Usin yang begitu angkuh kerana dapat membalas dendam atas perkahwinan ibunya menyuruh Naib Hassan (bapa tiri) “Pandang mak tua termenung di bendul tangga tu”.


“Topi urang tuha ku sipa-sipak kaya bula” dia menceritakan bagaimana dia menyepak topi keras berwarna ‘khaki’ yang sering di pakai Naib Hassan setiap kali keluar rumah.


Lewat petang itu Naib Hassan di ikat ke sebatang pokok di dalam hutan berhampiran. Cubaan komunis melukakannya dengan senjata tajam tidak meninggalkan bekas.


“Taguh alah sidin naya” Usin yang melihat kekebalan Naib Hassan naik berang lalu menyuruh pengganas komunis lainnya menggali lubang dan dalam lubang itulah Naib Hassan ditanam berduduk hingga paras bahu.


Dan dalam keadaan berduduk itulah Naib Hassan menemui ajal setelah berulang kali dijirus dengan air mendidih.


Dan Usin pula begitu bangga menceritakan kepada penduduk kampung bagaimana dia menamatkan riwayat seorang patriot.


Diharap dengan nukilan ini maka terjawablah kemusykilan…kenapa sebagai cucu kepada Naib Hassan, aku pernah menyaran, melalui nukilan bertajuk ‘Chin Peng – Forgive and Forget’ agar rakyat Malaysia memaafkan kesilapan orang lain, khususnya Chin Peng. Kenapa?


Kematian Naib Hassan, walaupun berpunca dari kerakusan komunis, tapi orang yang menamatkan riwayat Naib Hassan ialah orang Melayu/Banjar sendiri.


‘Man Cilak’ (peristiwa di Nyior Estate), teman seperguruan ‘Mat Indera’ (peristiwa Bukit Kepong) juga orang Melayu/Banjar.


Tanpa penglibatan orang Melayu, mana mungkin komunis berani mengganas.


Tiga tahun selepas kematian Naib Hassan, Usin menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Badannya berkecai digilis trak tentera.


NOTA KAKI:

Untuk satu jangka masa, keluarga Man Cilak dipulaukan penduduk kampung. Man Cilak hilang tanpa berita, dan mungkin mati tanpa kubur.

Ahmad ‘tarugul’, adik lelakinya pernah bertumbuk denganku masa di darjah satu kerana dia enggan memulangkan pensil dan pemadam yang dicuri. Dalam pergaduhan itu, batang hidungku patah dihentak dengan ‘rantang’ (mangkuk tingkat).


Artikel asal : utuhpaloi.com

Monday, September 27, 2010

Peristiwa Kalabakan

Satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan, sekaligus menjadi satu titik hitam dalam lipatan sejarah RAMD ialah Peristiwa Kalabakan. Dalam tragedi berdarah ini, seorang pegawai dan tujuh anggota Batallion ke-3 RAMD terkoban, manakala 18 orang anggota lagi tercedera. Peristiwa berdarah ini berlaku pada tanggal 29 Disember 1963. Tempat berlakunya tragedi berdarah yang menimpa Batallion ke-3 RAMD itu terletak tidak jauh dari tebing Sungai Kalabakan. Lokasinya kira-kira 30 batu ke utara Tawau dan 12 batu ke utara sempadan Kalimantan, Indonesia. Di situ terletak dua penempatan kecil Pasukan Keselamatan Malaysia yang terdiri daripada satu penempatan Pasukan Polis Hutan dan sebuah lagi penempatan tentera terletak di suatu lereng bukit.

Kedua-dua penempatan dipisahkan dalam jarak lebih 400 ela sahaja. Pos Polis yang dipagari dengan dawai berduri mempunuyai kekuatan 15 orang anggota, manakala penempatan pasukan tentera tidak pula berpagar. Anggota Platun 1 Kompeni A dan kemudiannya disertai oleh seksyen dari Platun 10 Kompeni C ditempatkan di situ. Kawasan perkhemahan ini terletak suatu kawasan lereng tanpa sistem keselamatan serta pertahanan yang lengkap. Ini berlaku kerana ketiadaaan bekalan peralatan walaupun usaha mendapatkannya telah berulangkali dilakukan.

Menurut laporan, seramai 130 orang tentera Indonesia daripada pelbagai pasukan bergerak dari Kalimantan menyusup ke kawasan Malaysia pada pertengahan Disember 1963. Pasukan ini singgah di Serudong dalam perjalanan menuju ke Selimpopon dengan melewati Tarakan untuk ke kem balak Teck Guan dekat Kalabakan. Mereka bermalam di situ pada 28 Disember. Mejar Zainol Abidin bersama dua seksyen dari Kompeni C digerakkan ke penempatan Platun 1 Kompeni A di Kalabakan pada 29 Disember bagi memperkuatkan subunit berkenaan. Tiga buah kubu, setiap satu untuk tiga orang, dibina untuk tujuan pertahanan, Kubu berkenaan terletak di kiri dan kanan serta di Sebelah kanan belakang rumah atap dan digunakan untuk menenmpatkan senjata RISLB. Rumah berkenaan diberikan oleh Mr. Ress Pengurus Bombay Burma Timber Company Limited.

Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin menyatakan, beliau ada menerima maklumat yang menyatakan satu kumpulan tentera Indonesia sedang bergerak dari Kalimantan menyusup masuk ke kawasan Malaysia. Mereka dilaporkan telah merampas barang-barang dr sebuah kedai kepunyaan seorang peniaga Cina di kawasan Serudong Laut. Mereka dikatakan sedang bergerak ke arah kawasan Kalabakan.

Tidak lama selepas itu satu tembakan kedengaran memecah keheningan malam dan kemudiannya diikuti pula oleh tembakan yang bertubi-tubi. Ketika saya dan sebilangan anggota keluar dari rumah untuk 'stand to', anggota TNI telah pun mula melepasakn tembakan dan melemaprkan bom tangan ke kedudukan kami, cerita Lettenan Kolonel (bersara) Raja Shaharudin. Semua anggota bertempiaran keluar dari rumah mencari perlindungan. Sarjan Abdul Aziz berjaya menerjunkan diri ke dalam kubu dan berada bersama ketua platun serta dua anggota lagi. Kami membalas tembakan dan turut melontarkan bom tangan ke arah anggota TNI, saya kemudiannya memerintahkan anggota agar mengambil perlindungan dan tidak melepaskan tembakan kecuali mereka melihat anggota TNI.

Tembak-menembak berhenti kira-kira pukul 11.00 malam, terang Leftenan Kolonel (Bersara) Raja Shaharudin. Mr. Ress, besama seorang lalaki datang menemui Leftenan Muda Raja Shaharudin sejurus selepas pertempuran berhenti. Pada lebih kurang pukul 3.30 pagi 30 Disember 1963 satu platun bantuan yang diketuai oleh Leftenan Muda Wan Nordin bnin Wan Mohammad (12176) sampai ke lokasi platun di Kalabakan. Anggotanya diarah mengumpulkan anggota yang terkorban dan tercedera sambil memberikan rawatan sekadar terdaya. Apabila matahari pagi 30 Disember 1963 mula menampakkan sinarnya, anggota mula melakukan penggeledahan kawasan secara terperinci bagi mengumpul mayat dan anggota yang tercedera untuk dimaklumkan kepada markas batalion. Lapan anggota termasuk ketua kompeni disahkan terkorban, manakala 18 anggota lagi tercedera.