Ogos 1945…setelah Jepun menyerah kalah, Malaya berada dalam keadaan huru hara. Ramai penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mereka benar-benar mengharapkan ketibaan Tentera British dengan segera.
Dalam ‘void’ atau kekosongan inilah komunis mula mengatur langkah. Mereka memaksa penduduk kampung menyertai perjuangan menentang penjajah British yang akan kembali memerintah.
Ramai yang terpesong, terdesak dan didesak menyertai perjuangan komunis. Namun, tidak kurang yang menentang, berpegang teguh dengan pendirian ‘di mana bumi dipijak d situ langit dijunjung’.
Salah seorang yang berpendirian teguh ialah Hassan bin Abu Bakar.
‘Man Cilak’, ketua komunis Melayu/Banjar berasal dari Seri Lalang mendapat gelaran ‘Cilak’ kerana hanya sebelah matanya yang celik, yang sebelah lagi buta. Kebolehannya menghilangkan diri dalam sekelip mata menjadi bualan penduduk kampung dan anggota keselamatan - Jungle Squad dan SC (Special Constable) - ketika itu.
Dengan arahan ‘Man Cilak’ komunis memujuk peneroka ulung dan ketua kampung Seri Lalang untuk sama-sama mengangkat senjata menyertai perjuangan mereka. Namun Naib Hassan yang pernah dijadikan kawan berburu oleh Sultan Ibrahim tidak mengindahkan pelawaan, atau ugutan.
Naib Hassan pernah berburu dengan Sultan Ibrahim?
Kampung Seri Lalang tahun 30an dan awal 40an persis sebuah hutan dara atau virgin forest. Salah satu aktiviti kegemaran Sultan Ibrahim ialah menjerat binatang buas. Dan setiap kali baginda keluar Istana untuk pergi berburu, rumah Naib Hassan jadi persinggahan.
Suatu hari, ibu (anak sulung Naib Hassan) memanjat pokok untuk melihat Sultan dan bapanya menyelia pengeluaran sangkar ke jalan raya untuk di bawa ke istana di Johor Bahru. Apabila harimau yang terperangkap dalam sangkar mengaum, ibu yang masih sunti terjatuh dari atas pokok kerana terkejut.
Masa pemerintahan Jepun, rumah Naib Hassan tidak pernah digeledah oleh anggota tentera ‘Matahari Terbit’. Kenapa?
Di dinding rumah Naib Hassan tergantung ‘Azimat’ yang membuat tentera Jepun tunduk setiap kali mereka cuba mengganggu. Azimat itu berupa sekeping gambar Maharaja Jepun yang dihadiahkan oleh Sultan Ibrahim.
Oleh kerana Naib Hassan enggan menyertai perjuangan komunis, ‘Man Cilak’ memerintahkan balaci-balacinya menangkap Naib Hassan untuk di bawa ke dalam hutan dalam usaha mengubah pendiriannya.
Beberapa hari sebelum rancangan jahat ‘Man Cilak’ dilaksanakan, sekumpulan orang Cina yang anti komunis menasihatkan Naib Hassan agar meninggalkan kampung buat sementara kerana mereka telah mendengar berita tentang rancangan ‘Man Cilak’ dan orang-orangnya.
Sebagai orang Banjar tulen yang pernah berjuang menentang Belanda di Kalimantan, Naib Hassan enggan mengalah dan sanggup menghadapi sebarang kemungkinan. Dan kemungkinan itu datang beberapa hari kemudian.
Petang itu dia dijemput oleh anak tirinya bernama Usin untuk menghadiri mesyuarat disatu tempat yang terletak kira-kira 2 batu dari rumah.
Naib Hassan yang berusia lewat 40an mempunyai dua orang isteri. Isteri keduanya, ibu Usin adalah seorang balu yang dikahwininya semasa pemerintahan Jepun.
Malam itu Naib Hassan tidak pulang ke rumah. Isteri pertama (nenek) menyangka suaminya bermalam di rumah isteri kedua.
Esok petang, sedang isteri tua duduk termenug di hujung tangga, dia terlihat sekumpulan lelaki berjalan di hadapan rumah. Sedikit pun tidak di duga bahwa dalam kumpulan itu ada suaminya yang dipaksa oleh Usin untuk berjalan melewati dan melihat rumah buat kali terakhir.
“Itihi matuha taungut di watun tuh” Usin yang begitu angkuh kerana dapat membalas dendam atas perkahwinan ibunya menyuruh Naib Hassan (bapa tiri) “Pandang mak tua termenung di bendul tangga tu”.
“Topi urang tuha ku sipa-sipak kaya bula” dia menceritakan bagaimana dia menyepak topi keras berwarna ‘khaki’ yang sering di pakai Naib Hassan setiap kali keluar rumah.
Lewat petang itu Naib Hassan di ikat ke sebatang pokok di dalam hutan berhampiran. Cubaan komunis melukakannya dengan senjata tajam tidak meninggalkan bekas.
“Taguh alah sidin naya” Usin yang melihat kekebalan Naib Hassan naik berang lalu menyuruh pengganas komunis lainnya menggali lubang dan dalam lubang itulah Naib Hassan ditanam berduduk hingga paras bahu.
Dan dalam keadaan berduduk itulah Naib Hassan menemui ajal setelah berulang kali dijirus dengan air mendidih.
Dan Usin pula begitu bangga menceritakan kepada penduduk kampung bagaimana dia menamatkan riwayat seorang patriot.
Diharap dengan nukilan ini maka terjawablah kemusykilan…kenapa sebagai cucu kepada Naib Hassan, aku pernah menyaran, melalui nukilan bertajuk ‘Chin Peng – Forgive and Forget’ agar rakyat Malaysia memaafkan kesilapan orang lain, khususnya Chin Peng. Kenapa?
Kematian Naib Hassan, walaupun berpunca dari kerakusan komunis, tapi orang yang menamatkan riwayat Naib Hassan ialah orang Melayu/Banjar sendiri.
‘Man Cilak’ (peristiwa di Nyior Estate), teman seperguruan ‘Mat Indera’ (peristiwa Bukit Kepong) juga orang Melayu/Banjar.
Tanpa penglibatan orang Melayu, mana mungkin komunis berani mengganas.
Tiga tahun selepas kematian Naib Hassan, Usin menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Badannya berkecai digilis trak tentera.
NOTA KAKI:
Untuk satu jangka masa, keluarga Man Cilak dipulaukan penduduk kampung. Man Cilak hilang tanpa berita, dan mungkin mati tanpa kubur.
Ahmad ‘tarugul’, adik lelakinya pernah bertumbuk denganku masa di darjah satu kerana dia enggan memulangkan pensil dan pemadam yang dicuri. Dalam pergaduhan itu, batang hidungku patah dihentak dengan ‘rantang’ (mangkuk tingkat).
Artikel asal : utuhpaloi.com
No comments:
Post a Comment