Saturday, January 29, 2011

MALBATT 2 dapat pujian antarabangsa

Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/01/30

Askar sertai misi di Lubnan tiba di tanah air

SUBANG: Seramai 137 anggota Kumpulan Kedua Pasukan Batalion Malaysia 2 (MALBATT 2) yang menyertai misi Pasukan Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak April lalu, selamat tiba ke tanah air, pagi semalam.

Pesawat MH157 yang membawa kumpulan kedua diketuai Kolonel Mohd Nizam Jaafar selaku Ketua Komander MALBATT 2 itu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.30 pagi melalui penerbangan terus yang berlepas dari Beirut kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Kumpulan kedua yang terdiri daripada 33 pegawai dan 104 anggota pelbagai pangkat ini adalah sebahagian 440 jumlah keseluruhan anggota MALBATT 2 yang mana 303 anggota kumpulan satu MALBATT 2 sudah pulang ke tanah air pada 21 Januari lalu.

Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman, berkata pihaknya sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan penugasan MALBATT 2 di Sektor Barat Lubnan dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhannya, prestasi yang dipamerkan oleh kumpulan ini amat membanggakan. Sebagai bukti, banyak pujian diterima daripada pelbagai pihak yang ternyata amat berpuas hati dengan tugasan yang dilaksanakan anggota MALBATT 2 di sana.

“Selain terbabit dengan program jiwa murni seperti memberi bantuan perubatan, membaik pulih kemudahan asas untuk penduduk tempatan, anggota kita turut terbabit dengan proses pemulihan keamanan di negara berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan pasukan itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, semalam.
“Segala pengiktirafan yang kita terima membawa kepada kesinambungan misi UNIFIL melalui pasukan MALBATT 3 yang akan bertolak ke Lubnan pada Mac depan.

“Ini menunjukkan keyakinan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kerajaan Lubnan dan pasukan pengaman dari negara lain terhadap profesionalisme dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan turut meluluskan tambahan 100 anggota ATM untuk menyertai MALBATT 3 dan menjadikan bilangan anggotanya itu bertambah secara keseluruhannya daripada 440 kepada 540 anggota.

Source : berita minggu

2 comments:

  1. asyik dapat pujian tapi kelengkapan tak ditambah jugak

    ReplyDelete
  2. Now Kol Nizam dah naik pangkat ke Brig Jen n dh dpt title Datuk pun...Skrg ADC Agong..ade nmpk waktu pertabalan Agong hari tu..

    ReplyDelete