Saturday, January 29, 2011

Tukang kayu berjihad di Palestin

SURAH AL-MU'MINUN : AYAT 99 - 100

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalilah daku (hidup semula di dunia) - Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).




Pekerjaannya hanya sebagai tukang kayu dan menjual-beli hasil pertanian di Mesir, seorang yang sangat berani, cerdas, sabar dan memiliki jiwa yang sangat tenang, sangat perihatin dan bersemangat untuk membela kaum muslimin, membela saudara-saudaranya di Palestin yang dizalimi penjajah Zionis Yahudi.

Tukang kayu tersebut bernama Yusuf Thala’at, atau lengkapnya Yusuf Izzuddin Muhammad Thala’at, lahir pada Ogos 1914 M di kota Ismailiyah, Mesir.

Setelah berkenalan dengan Imam Hasan Al Banna, Mursyid Am Al Ikhwan Al Muslimin pada tahun 1936, Yusuf Thala’at terdorong untuk berjuang membela, menolong kaum muslimin, khususnya kaum muslimin di Palestin yang sedang berjuang melawan penjajah Inggeris yang pada masa itu didukung Zionis Antarabangsa.

Perjuangan menyokong dan membela Palestin dilakukan Yusuf Thala’at dengan berbagai macam cara, bermula dari menyebarkan risalah, mengadakan latihan perang, berkhutbah, berceramah sehinggalah berdemonstrasi.

Sepak terajang dan aksi Yusuf Thala’at bersama Jama’ah Al Ikhwan Al Muslimin dalam demonstrasi aman untuk Palestin mendapat liputan media masa Mesir. Akhbar Al Ahram, Mesir terbitan 13 Julai 1938 melaporkan, “ Jamaah Al Ikhwan Al Muslimin di kota Ismailiyah mengadakan demonstrasi dari masjid Jami’ Al Abasi menuju ibupejabat Al Ikhwan Al Muslimin untuk memperlihatkan perasaan dan kecintaan mereka terhadap rakyat Palestin. Polis menangkap sejumlah penunjuk perasaan. Setelah selesai melakukan siasatan terhadap mereka, pemerintah Ismailiyah mengambil keputusan menahan Hasan Al Banna, Yusuf Thal’at, dan tokoh-tokoh Ikhwan lain. Mereka ditahan selama empat hari untuk disoal-siasat”.

Pada tahun 1948, Imam Hasan Al Banna, mengerahkan 10,000 orang anggota Al Ikhwan Al Muslimin dari Mesir, Syria dan negara Arab lainnya untuk berjihad di Palestin menentang penjajah Zionis Yahudi yang mendapat sokongan Inggeris.

Yusuf Thala’at termasuk di dalam pasukan Al Ikhwan Al Muslimin yang berjumlah 10,000 orang tersebut. Ia merupakan orang yang pertama kali bergegas berangkat jihad ke Palestin bersama sejumlah ikhwan dari Ismailiyah.

Dengan semangat juang yang tinggi dan tanpa perasaan takut kecuali kepada Allah swt, Yusuf Thala’at memimpin perang di Dirul Balah melawan tentara Zionis Yahudi. Dalam peperangan itu, 12 orang mujahidin Al Ikhwan Al Muslimin gugur sebagai syuhada.

Ketika diadakan gencatan senjata untuk menyerahkan jenazah para korban. Panglima perang Inggeris tercengang apabila melihat mujahidin Al Ikhwan Al Muslimin yang gugur, kesemuanya terkena tembakan peluru di bahagian dada. Peristiwa ini menjadi perbincangan diantara pasukan musuh, mereka mengetahui sikap pejuang sejati, pejuang yang tidak ingin lari dari medan perang, pejuang yang tidak takut mati, pejuang yang bersedia memerangi lawan untuk mendapatkan syahid di jalan Allah.

“dan barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, Maka mereka adalah orang- orang yang mendapat kemenangan." (QS: An Nur/24: 52).

“Sesungguhnya kamu mengharapkan mati (syahid) sebelum kamu menghadapinya; (sekarang) sungguh kamu telah melihatnya dan kamu menyaksikannya”. (QS: Ali Imran/3 : 143)

Pada tarikh 8 Disember 1954, Koran Bari Matish terbitan Perancis mewartakan bahawa:

“Pada pukul enam pagi tanggal 7/12/1954, bendera hitam dikibarkan di penjara Kaherah dan orang-orang yang dijatuhi hukuman mati diiringi pengawal, dengan berkaki ayam dan memakai pakaian eksekusi hukuman berwarna merah.

Pada pukul lapan, bermulalah eksekusi hukuman mati terhadap enam orang anggota Al Ikhwan Al Muslimin: Mahmud Abdul Latif, Yusuf Thala’at, Handawi Dawir, Ibrahim Ath Thayyib, Muhammad Farghali dan Abdul Qadir Audah. Keenam-enam orang ini berjalan ke tali gantung, dengan keberanian luar biasa dan memuji Allah karena mendapat kemuliaan syahid”.

“dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu ) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.” (QS: Al Baqarah/2 : 154).

“janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” (QS: Ali Imran/3 169).

“di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya),” (QS: Al Ahzab/33:23).

Sahabat Yusuf Thal’at, Syekh Abdul Qadir Audah (gambar bawah), seorang hakim lagi faqih dan pakar undang-undang, sebelum dilaksanakan hukuman mati berdoa kepada Allah, “Darahku akan menjadi laknat atas pemimpin-pemimpin Revolusi”.


Allah mengabulkan doa orang yang dizalimi, darahnya menjadi laknat bagi penguasa yang terlibat dalam eksekusi terhadap para ulama dan pejuang Palestin. Tidak ada seorangpun di antara mereka yang zalim itu selamat dari hukuman Allah di dunia. Mereka mengalami kehidupan yang sangat tragis.

Jamal Salim, ketua Mahkamah, menderita penyakit saraf. Saudara Jamal Salim, Shalah Salim, ginjalnya tidak berfungsi, hinga air kencingnya tertahan dan mati keracunan. Syamsu Badran dijatuhi hukuman seumur hidup. Kaunselor Abdul Hakim Amir mati bunuh diri atau diracun. Hamzah Basyuni dilanggar dengan teruk, hingga tubuhnya hancur dan bertebaran di atas tanah. Al Askari Ghunaim ditemui mati dalam kebun. Ash Shaul Yasin diserang untanya dan tulang lehernya retak hingga mati. Abdun Nashir seluruh hidupnya dipenuhi rasa ketakutan dan keresahan, baik dalam jaga maupun tidur. Bahkan kuburnya digenangi aliran air.

Semoga Allah mengumpulkan pejuang-pejuang yang gugur di jalan-Nya bersama Rasulullah saw di dalam surga-Nya yang mulia. Amin.


source : beritaislamglobal.blogspot.com

About History

1. Sejarah menceritakan apa yang telah berlaku dahulu kepada sesuatu negara atau bangsa. Tidak semua yang diceritakan diasaskan kepada fakta yang benar-benar berlaku. Tiap negara dan tiap ahli sejarah mengutamakan kepentingan negara apabila menulis berkenaan sejarah yang dilalui oleh negara masing-masing.

2. Demikian penulis sejarah British apabila menulis berkenaan pertempuran perang di Waterloo mendakwa bahawa pertempuran itu telah selesai dimenangi oleh Duke of Wellington, Jeneral yang mengetuai tentera British sebelum tentera Jerman yang diketuai oleh Blucher sampai ke Waterloo untuk membantu Wellington.

3. Ahli sejarah Jerman pula menulis bahawa Wellington hampir kalah di Waterloo apabila Blucher sampai dan menyelamatkan tentera British dan seterusnya memberi kemenangan kepada tentera gabungan Jerman dan British.

4. Banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing.

5. Kita jarang membaca dalam buku sejarah Barat bahawa negara Sepanyol ditawan dan dikuasai orang Islam selama 800 tahun, atau kekalahan teruk tentera British di Gallipoli, Turki, di tangan tentera Turki pimpinan Mustafa Kamal.

6. Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.

7. Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu.

8. Dan banyaklah lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif, sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis maka tidak ada pelajaran yang akan diperolehi penuntut.

9. Sebaliknya satu daripada hasil dari matapelajaran sejarah ialah kita lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan-kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat.

10. Kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali".

11. Kita semua belajar dari pengalaman. Jika zaman ini lebih baik iklimnya daripada dahulu sebabnya ialah kerana kita tidak amalkan kesilapan-kesilapan dahulu. Kita telah belajar dari pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian dari sejarah.

12. Jika kita lupakan atau ketepikan pengalaman dahulu yang kita alami tak dapat tidak pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak akan menjadi lebih baik.

13. Saya telah baca buku teks sejarah dan saya dapati banyaklah peristiwa yang penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku-buku ini.

14. Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran.

15. Oleh kerana semua ini maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar.

MALBATT 2 dapat pujian antarabangsa

Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/01/30

Askar sertai misi di Lubnan tiba di tanah air

SUBANG: Seramai 137 anggota Kumpulan Kedua Pasukan Batalion Malaysia 2 (MALBATT 2) yang menyertai misi Pasukan Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak April lalu, selamat tiba ke tanah air, pagi semalam.

Pesawat MH157 yang membawa kumpulan kedua diketuai Kolonel Mohd Nizam Jaafar selaku Ketua Komander MALBATT 2 itu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.30 pagi melalui penerbangan terus yang berlepas dari Beirut kira-kira jam 8 pagi kelmarin.
Kumpulan kedua yang terdiri daripada 33 pegawai dan 104 anggota pelbagai pangkat ini adalah sebahagian 440 jumlah keseluruhan anggota MALBATT 2 yang mana 303 anggota kumpulan satu MALBATT 2 sudah pulang ke tanah air pada 21 Januari lalu.

Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman, berkata pihaknya sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan penugasan MALBATT 2 di Sektor Barat Lubnan dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhannya, prestasi yang dipamerkan oleh kumpulan ini amat membanggakan. Sebagai bukti, banyak pujian diterima daripada pelbagai pihak yang ternyata amat berpuas hati dengan tugasan yang dilaksanakan anggota MALBATT 2 di sana.

“Selain terbabit dengan program jiwa murni seperti memberi bantuan perubatan, membaik pulih kemudahan asas untuk penduduk tempatan, anggota kita turut terbabit dengan proses pemulihan keamanan di negara berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut kepulangan pasukan itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang, semalam.
“Segala pengiktirafan yang kita terima membawa kepada kesinambungan misi UNIFIL melalui pasukan MALBATT 3 yang akan bertolak ke Lubnan pada Mac depan.

“Ini menunjukkan keyakinan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kerajaan Lubnan dan pasukan pengaman dari negara lain terhadap profesionalisme dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan turut meluluskan tambahan 100 anggota ATM untuk menyertai MALBATT 3 dan menjadikan bilangan anggotanya itu bertambah secara keseluruhannya daripada 440 kepada 540 anggota.

Source : berita minggu

Thursday, January 27, 2011

RPZ Condor , pasukan tempur saling melengkapi



MENJEJAKKAN kaki ke dalam kenderaan pengangkutan infantri (APC) jenis RPZ Condor dianggap pengalaman paling bermakna, terutama apabila mengimbau kembali kesulitan dihadapi 60 tentera Malaysia ketika berdepan serangan hendap bertubi-tubi kumpulan militia di kawasan Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia, dalam tragedi `Black Hawk Down’ pada Oktober 1993.

Walaupun hanya seketika, ia sudah cukup untuk memberikan gambaran betapa sengsaranya keadaan perajurit negara yang terpaksa berkubukan hanya dinding jentera RPZ Condor dalam usaha menangkis peluru militia, termasuk senjata antikereta kebal dan pelancar grenade yang menghujani mereka tanpa henti.
Namun, saat menjejakkan kaki ke tempat duduk pemandu, perasaan tiba-tiba menjadi sebak terutama mengenangkan di situlah mayat wira negara, Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang, terkujur layu selepas RPZ Condor dengan nombor pendaftaran ZA9341 dipandunya ketika tragedi itu musnah akibat terkena serangan tepat senjata anti kereta kebal.
Selain Mat Aznan, sembilan lagi rakan setugasnya yang juga dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis berpangkalan di Sungai Petani, Kedah, turut dilapor parah akibat serangan sama.

Namun, di sebalik keperitan itu, timbul rasa bangga dan kagum dengan keupayaan jentera RPZ Condor berkenaan, yang menjadi perisai utama kepada 60 perajurit negara ketika berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Operasi UNOSOM II antara 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994.

Justeru, tidak hairanlah RPZ Condor yang menjadi kebanggaan warga 19 RAMD Mekanis, terutama ZA 9341 yang dipandu Koperal Mat Aznan dinobat sebagai Ragaan Utama batalion berkenaan dengan nama `AZNAN’, sekali gus membuktikan keupayaan tinggi serta jasa besar jentera terbabit dalam setiap misi disertai pasukan.

Condor adalah kenderaan jenis APC keluaran Jerman dan direka khusus untuk menyediakan pertahanan menyeluruh daripada sebarang serangan senjata ringan, pecahan peluru meriam atau pun periuk api kecil.
Malah, ketika berkhidmat bersama Malaysia di Somalia melalui UNOSOM II, RPZ Condor terbukti kebal apabila berjaya menangkis serangan peluru roket RPG-7 dalam pertempuran di Pasar Bakara, walaupun seorang tentera Malaysia dilapor terkorban dan sembilan yang lain parah.

Apa pun, keupayaan RPZ Condor dalam ops berkenaan tidak akan lengkap tanpa keseragaman tindakan kru terlatih yang dikenali sebagai Pasukan Tempur Unit Infantri Batalion 19 RAMD Mekanis.

Ini diakui sendiri Pegawai Pemerintah Batalion 19 RAMD Mekanis, Lt Kol Fazal Abdul Rahman, yang menganggap kedua-duanya (RPZ Condor dan Pasukan Tempur) sebagai saling melengkapi satu sama lain.

“Setiap jentera lengkap RPZ Condor mengandungi 10 kru tempur terdiri daripada pemandu, ketua kenderaan, pasukan peninjau serta kru penembak senjata bantuan.

“Tanpa kru tempur ini, sebuah RPZ Condor tidak akan sempurna dan keberkesanan jentera juga sudah pasti terbatas. Ini sekali gus akan mengganggu gugat kesempurnaan setiap misi yang dijalankan,” katanya.

Dari segi reka bentuk, RPZ Condor dianggap APC paling fleksibel kerana bukan saja sesuai untuk kegunaan dalam serangan berbentuk amfibia, malah boleh diangkut ke lokasi tertentu secara mudah melalui udara menggunakan pesawat C-130 Hercules atau C-160.

Dalam aspek penggunaan pula, Condor yang sinonim dengan fungsinya untuk mengangkut unit infantri bersenjata, sebenarnya boleh diubah suai dengan mudah sekali mengikut keperluan penggunaan, termasuk bagi tujuan pengangkutan kargo.

Malah, Condor juga diguna pakai untuk tujuan pemantauan dan pemerhatian, pengangkutan senjata dan pertahanan udara ringan, serta sebagai kenderaan anti-rusuhan.

Selain itu, APC ini juga boleh diubahsuai sebagai jentera sokongan logistik serta ambulans seperti yang dipraktikkan Malaysia, selain dilengkapi pelbagai variasi persenjataan.

Fazal berkata, kelebihan utama RPZ CONDOR adalah dari segi perintah dan kawalan, di mana setiap arahan operasi boleh diatur secara terus dan terkoordinasi ketika jentera sedang bergerak dalam formasi ke arah sasaran.

“Ini bukan saja dapat menjimatkan masa, malah sebarang perubahan dalam sasaran misi atau haluan juga boleh dikoordinasi secara terus melalui sistem komunikasi yang ada dalam kenderaan pada bila-bila masa tanpa perlu berhenti,” katanya.

Difahamkan, selain digunakan Malaysia khususnya Batalion 19 RAMD Mekanis menggantikan kenderaan perisai jenis V150 Commando buatan Amerika Syarikat pada 1989, APC Condor turut diguna pakai beberapa negara lain seperti Kuwait, Portugal (Polis Tentera Udara), Thailand, Turki, Uruguay dan Korea Selatan.

Malah, sepanjang berbakti bersama Batalion 19 RAMD Mekanis sejak 1989, RPZ Condor banyak memberi sumbangan ke arah keselamatan dan juga pembangunan negara melalui pembabitannya dalam pelbagai operasi baik di dalam mahu pun luar negara.

Antaranya termasuk pembabitan secara langsung dalam operasi yang diatur seperti Ops Bongsu, Ops Ganas, Ops Setia VIII, Ops Kota Charlie, Ops Kancil, Ops Foxport, Ops 797, Ops Gerak Sedar, Ops Kota Echo, Ops Sedar, Ops Gubir/Lenggong, Ops Sedar 4/85, Ops Setia, Ops Kota Charlie/Delta, Ops Tak Sin 8601, Ops Kota Charlie /Delta 4/86 dan Ops Kota Echo 2/84.

Ketika operasi terbabit, katanya, selain melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan, pasukan itu juga berjaya mencapai beberapa kemajuan. Antaranya kejayaan merampas 23 ketul candu mentah seberat 49 kilogram di Sungai Temin, Kedah melalui Operasi Kota Bravo Pagar pada Mac 1985.

Selain itu, pasukan itu juga terbabit dalam misi luar negara di bawah panji PBB, termasuk melalui Operasi UNOSOM II sebagai kumpulan utama Malbatt 1, mulai 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994 yang lebih dikenali sebagai peristiwa Black Hawk Down.

INFO: Data Teknikal APC Condor
  • Berat kosong - 9,000kg
  • Berat penuh - 12,400kg
  • Panjang - 6,130mm
  • Tinggi (termasuk Turret) - 2,770mm
  • Laju maksima - (100 km/j)
  • Laju (dalam air) - 10 km/j
  • Persenjataan - Pelancar grenade 76mm/ GPMG (optional mengikut keperluan)
  • Keanggotaan Unit Tempur - tujuh hingga 10 orang.

  • Oleh Adha Ghazali adha@bharian.com.my



    Monday, January 17, 2011

    Tengku Kudin

    Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin merupakan anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin.

    Tunku Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Tunku Kudin, tinggal di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang menentang angkatan Thai semasa perang Musuh Bisik yang telah meletus sejak 1821.

    Orang-orang Thai yang menguasai di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Thai ini dan menyelamatkan Tunku Kudin.

    Pada suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang upahan Thai dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Thai bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.

    Tunku Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak, rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam menuntut bela.

    Orang-orang Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Thai. Jumlah orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak kurang dari 5000 orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan, angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi yang turut menghantar bantuan.

    Angkatan Thai yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu. Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Thai di Kota Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri, pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.

    Orang-orang Thai telah berundur ke Alor Ganu 15 batu dari Kuala Kedah mengikut Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Thai. Di Alor Ganu orang-orang Thai bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar ke Legor menyusul bantuan.

    Kejayaan Tunku Kudin menawan kembali Kota Kuala Kedah rupanya menjadi satu kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun 1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun bangsa Thai, Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri Kedah yang telah menjadi Wilayah Thai.

    Sebagai membuktikan kepada kerajaan Thai bahawa Inggeris adalah satu bangsa yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.

    Angkatan Thai menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan Thai. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.

    Dalam satu pertarungan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut bangsa Thai di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan Thai telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” milik Inggeris telah tiba entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan Melayu yang ada. Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan” ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.

    Sebelum ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu bangsa Thai sentiasa dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu. Hampir seribu orang-orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal “Wolfe” berkelampong ke hulu ke hilir berminggu-minggu di laut Kedah selepas peristiwa itu.

    Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota.

    Angkatan Melayu yang di ketuai oleh Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku Kudin. Angkatan Tunku Sulaiman telah ditahan dan di arah dengan sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh 4 buah kompeni dari Madras Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.

    Kota Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu. Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera “Union Jack”.

    Kota Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai, diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.

    Kumpulan yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma 30 orang lagi. Mereka ini telah berjuang beberapa hari menangkis serangan-serangan tentera Thai semata-mata hanya dengan keberanian dan kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup kakitangan yang boleh mengawasi.

    Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-

    Pulau Sembilan tinggal delapan,

    Satu merajuk ke Kuala Kedah;

    Sudah nasib perminta badan,

    Kita di bawah kehendak Allah

    Maka pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Thai dari Legor telah tiba di Kuala Kedah: 7000 tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.

    Tunku Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak diketahui lagi, mereka berpelok-pelok dan kedengaran mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama sendiri jangan mati dibunuh bangsa Thai.

    Angkatan Thai menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Thai kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan 30 yang terakhir dari angkatan Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Thai tidak dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan dan lima belas hari.

    Cerita Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda, kemudian ditatang oleh panglima perang bangsa Thai yang paling tua, sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Thai.

    Raja Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya “Mana badannya?”. Panglima Perang Thai menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.

    Entah benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.

    Akhirkata :

    Kisah ini berdasarkan karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.

    Penulis yang mencatat


    Copied from : HULUBALANG BANI JAWI

    Saturday, January 15, 2011

    Mekah Siege on 20th November 1979

    Tahukan anda pada tahun 1979 muncul seorang lelaki Arab yang mengaku dirinya Imam Mahdi. Lelaki ini bernama Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani. Dengan bantuan adik iparnya Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al Utaibi dan 500 penyokong kuat ,mereka menyerang Masjidil Haram dan mengambil ratusan jemaah haji sebagai tebusan. Ini ialah insiden berdarah melibatkan militan islam pertama dalam sejarah kota Mekah.

    hahha

    Juhaiman ibn Muhammad ibn Saif al Utaibi - cool beard

    KENAPA?

    Persoalan pertama yang pasti berlegar dalam minda kamu ialah kenapa kumpulan militan ini menyerang Masjidil Haram? 20 November 1979 ialah hari yang cukup bersejarah pada kota mekah. Tidak pernah dalam sejarah islam masjidil haram dijadikan medan pertempuran bersenjata. Pada hari tersebut .Shit. Rasa skema taik lak tulis camni. Mari ubah gaya penulisan supaya lebih ranggi!

    Juhaiman ialah seorang pengikut fanatik fahaman wahhabi. Masa tu dia percaya yang kesemua ketua kerajaan islam didunia adalah korup dan proksi kepada kuasa barat terutanya Amerika. Bersenjatakan fahaman keras Wahhabi beliau percaya keluarga dirajaAl Saud harus disingkirkan. Mengikut Juhaiman didalam islam tidak ada provisyen untuk kewujudan kuasa Sultan atau Raja-Raja. Dengan kata lain bagi beliau sistem kesultanan ialah bullshit. Bila difikirkan ada betulnya pendapat dia. Zaman nabi dulu mana ada Sultan. Nabi sendiri hanya rakyat biasa yang menjadi ketua sebuah negara. Selain daripada itu Juhaiman mahukan islam kembali kearah lebih “keras” dan “original”. Dalam bahasa mat sallehnya dia mahukan islam Wahhabi yang puritanical dilaksanakan di si seluruh dunia. PAda zaman tu kita belum diperkenalkan dengan perkataan "fundamentalist". Tapi by all account Juhaiman is the first ever armed fundamentalist in modern Islamic history.


    SERANGAN AWAL PAGI

    Pada 20 November 1979 Juhaiman executed his plan. Hari ini dipilih kerana ianya jatuh pada hari pertama 1400 Hijrah. Ada sesetengah pihak yang percaya pada ramalan yang Imam Mahdi akan muncul pada hari itu. Selepas habis solat subuh Juhaiman dan konco-konconya menyerang Masjidil Haram. Sebelum serangan dibuat beliau menyenbunyikan senjata dan bekalan makanan didalam bilik-bilik bawah tanah Masjidil Haram. Senjata untuk serangan keatas Masjidil Haram dicuri dari depot senjata Natioanal Guard negara Saudi. Untuk mencuri dan menyeludup senjata adalah perkara mudah bagi Juhaiman kerana beliau pernah bertugas didalam National Guard selama 18 tahun. National Guard adalah tentera peribadi keluarga diraja bagi mengimbangi kuasa Pasukan Pertahanan Arab Saudi.

    Serangan keatas Masjidil Haram menggemparkan dunia Islam kerana pada waktu itu musim haji baru sahaja tamat. Setelah orang-orang Juhaiman berjaya mengunci semua pintu keluar masuk masjid, beliau mengambil jemaah haji yang terperangkan sebagai tebusan. Juhaiman kemudian mengambil alih sistem pembesar suara masjid dan mengumumkan Imam Mahdi akhirnya telah muncul di Mekkah. Selain daripada itu beliau mahukan export minyak ke Amerika dihentikan dan pengusiran semua penasihat ketenteraan bukan Islam dari tanah Arab.

    hahha

    Masjidil Haram Meletup


    KEPUNGAN BERMULA

    Pada awalnya pihak National Guard dan Tentera Arab Saudi cuba merempuh masuk perkarangan Masjidil Haram. Kereta kebal cuba merempuh pintu masuk utama tetapi gagal kerana kekukuhan pintu yang digunakan. Tentera dibawah arahan Juhaiman juga diletakkan di atas menara masjid lengkap dengan sniper. Akibatnya pihak Saudi berhenti dari cuba masuk.

    Disamping itu ada permasalah besar tentang penggunaan senjata api didalam perkarangan Masjidil Haram. Pihak Ulama' Saudi pada awalnya menghalang pengguanaan senjata kerana ia bakal mencemarkan kesucian Kaabah. Tetapi atas desakan kerajaan, akhirnya Ulama' Saudi mengeluarkan fatwa membenarkannya.

    Setelah usaha awal mereka gagal kerajaan Saudi terpaksa meminta bantuan pasukan anti keganasan GIGN dari Peranchis. Tiga orang anggota GIGN secara rahsia memeluk islam bagi membolehkan mereka menjejakkan kaki ke dalam tanah haram Mekah. Walaupun mereka “masuk islam” kehadiran anggota komando Peranchis ini dirahsiakan pihak Saudi bagi menutup malu kegagalan mereka menamatkan pengepungan.

    hahha

    3 orang ahli GIGN yang "masuk islam"

    PEMBEBASAN TEBUSAN

    Antara rancangan awal GIGN ialah membanjiri bilik bawah tanah Masjidil Haram yang digunakan sebagai tempat penahanan tebusan dan persembunyian pengikut Juhaiman. Selepas bilik-bilik ini dibanjiri mereka akan menjatuhkan kabel bervoltan tinggi kedalamnya! Rancangan ini ditolak kerana boleh membawa kepada kematian ramai tebusan. Akhirnya mereka mengambil kata putus untuk menebuk lubang pada lantai masjid dan menjatuhkan bom tangan terus ke bilik-bilik bawah tanah tersebut.

    hahha

    Kesan selepas pembebasan

    Pada 4 Desember 1979 selepas dua minggu, insiden pengepungan Masjidil Haram berjaya ditamatkan. Mengikut pihak berkuasa hanya 127 orang terbunuh dan 451 tercedera. Ini termasuk tebusan, ahli pasukan pertahanan dan pengikut Juhaiman. Namun ada yang percaya angka sebenar kematian ialah 255 orang dan 560 orang lagi tercedera. Setelah menyerah diri Juhaiman , Abdullah Hamid Mohammed Al-Qahtani dan pengikut-pengikut lelaki yang masih hidup dijatuhkan hukuman pancung sehingga mati.

    hahha

    "Imam Mahdi" selepas dipancung


    KESAN JANGKA PANJANG

    Ketika serangan dilakukan Masjidil Haram sedang dalam proses ubah suai. Kerja pengubahsuian dilakukan oleh Syarikat Pembinaan Binladin. Yep. Ianya syarikat kepunyaan bapa Osama Ben Laden! Ramai umat Islam emosi dengan apa yang berlaku di masjidil haram. Keengganan pihak Saudi memenuhi permintaan Juhaiman dan seterusnya menghalalkan pembunuhan serta penggunaan senjata di perkarangan masjid dipandang sebagai keputusan menyebelahi Amerika. Akibatnya kedutaan Amerika di Pakistan danLibya dibakar oleh penunjuk perasaan. Demonstrasi juga diadakan di Filipina, Turki, UAE , Bangladesh dan India bagi membantah tindakan Raja Faisal. Bagi kebanyakan orang Islam tindakan keluarga Al Saud membuktikan yang mereka hanyalah boneka Amerika.

    Insiden ini juga membakar semangat Osama ben Laden untuk menjadi pejuang Islam dimasa hadapan. Year later Osama akan diusir dari Arab Saudi atas kelantangannya mengkritik keluarga Al Saud. The rest as we know it is history.

    credits to

    Matinya Seorang Patriot

    Ogos 1945…setelah Jepun menyerah kalah, Malaya berada dalam keadaan huru hara. Ramai penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mereka benar-benar mengharapkan ketibaan Tentera British dengan segera.


    Dalam ‘void’ atau kekosongan inilah komunis mula mengatur langkah. Mereka memaksa penduduk kampung menyertai perjuangan menentang penjajah British yang akan kembali memerintah.


    Ramai yang terpesong, terdesak dan didesak menyertai perjuangan komunis. Namun, tidak kurang yang menentang, berpegang teguh dengan pendirian ‘di mana bumi dipijak d situ langit dijunjung’.

    Salah seorang yang berpendirian teguh ialah Hassan bin Abu Bakar.


    ‘Man Cilak’, ketua komunis Melayu/Banjar berasal dari Seri Lalang mendapat gelaran ‘Cilak’ kerana hanya sebelah matanya yang celik, yang sebelah lagi buta. Kebolehannya menghilangkan diri dalam sekelip mata menjadi bualan penduduk kampung dan anggota keselamatan - Jungle Squad dan SC (Special Constable) - ketika itu.


    Dengan arahan ‘Man Cilak’ komunis memujuk peneroka ulung dan ketua kampung Seri Lalang untuk sama-sama mengangkat senjata menyertai perjuangan mereka. Namun Naib Hassan yang pernah dijadikan kawan berburu oleh Sultan Ibrahim tidak mengindahkan pelawaan, atau ugutan.

    Naib Hassan pernah berburu dengan Sultan Ibrahim?


    Kampung Seri Lalang tahun 30an dan awal 40an persis sebuah hutan dara atau virgin forest. Salah satu aktiviti kegemaran Sultan Ibrahim ialah menjerat binatang buas. Dan setiap kali baginda keluar Istana untuk pergi berburu, rumah Naib Hassan jadi persinggahan.


    Suatu hari, ibu (anak sulung Naib Hassan) memanjat pokok untuk melihat Sultan dan bapanya menyelia pengeluaran sangkar ke jalan raya untuk di bawa ke istana di Johor Bahru. Apabila harimau yang terperangkap dalam sangkar mengaum, ibu yang masih sunti terjatuh dari atas pokok kerana terkejut.


    Masa pemerintahan Jepun, rumah Naib Hassan tidak pernah digeledah oleh anggota tentera ‘Matahari Terbit’. Kenapa?


    Di dinding rumah Naib Hassan tergantung ‘Azimat’ yang membuat tentera Jepun tunduk setiap kali mereka cuba mengganggu. Azimat itu berupa sekeping gambar Maharaja Jepun yang dihadiahkan oleh Sultan Ibrahim.


    Oleh kerana Naib Hassan enggan menyertai perjuangan komunis, ‘Man Cilak’ memerintahkan balaci-balacinya menangkap Naib Hassan untuk di bawa ke dalam hutan dalam usaha mengubah pendiriannya.


    Beberapa hari sebelum rancangan jahat ‘Man Cilak’ dilaksanakan, sekumpulan orang Cina yang anti komunis menasihatkan Naib Hassan agar meninggalkan kampung buat sementara kerana mereka telah mendengar berita tentang rancangan ‘Man Cilak’ dan orang-orangnya.


    Sebagai orang Banjar tulen yang pernah berjuang menentang Belanda di Kalimantan, Naib Hassan enggan mengalah dan sanggup menghadapi sebarang kemungkinan. Dan kemungkinan itu datang beberapa hari kemudian.


    Petang itu dia dijemput oleh anak tirinya bernama Usin untuk menghadiri mesyuarat disatu tempat yang terletak kira-kira 2 batu dari rumah.


    Naib Hassan yang berusia lewat 40an mempunyai dua orang isteri. Isteri keduanya, ibu Usin adalah seorang balu yang dikahwininya semasa pemerintahan Jepun.


    Malam itu Naib Hassan tidak pulang ke rumah. Isteri pertama (nenek) menyangka suaminya bermalam di rumah isteri kedua.


    Esok petang, sedang isteri tua duduk termenug di hujung tangga, dia terlihat sekumpulan lelaki berjalan di hadapan rumah. Sedikit pun tidak di duga bahwa dalam kumpulan itu ada suaminya yang dipaksa oleh Usin untuk berjalan melewati dan melihat rumah buat kali terakhir.


    “Itihi matuha taungut di watun tuh” Usin yang begitu angkuh kerana dapat membalas dendam atas perkahwinan ibunya menyuruh Naib Hassan (bapa tiri) “Pandang mak tua termenung di bendul tangga tu”.


    “Topi urang tuha ku sipa-sipak kaya bula” dia menceritakan bagaimana dia menyepak topi keras berwarna ‘khaki’ yang sering di pakai Naib Hassan setiap kali keluar rumah.


    Lewat petang itu Naib Hassan di ikat ke sebatang pokok di dalam hutan berhampiran. Cubaan komunis melukakannya dengan senjata tajam tidak meninggalkan bekas.


    “Taguh alah sidin naya” Usin yang melihat kekebalan Naib Hassan naik berang lalu menyuruh pengganas komunis lainnya menggali lubang dan dalam lubang itulah Naib Hassan ditanam berduduk hingga paras bahu.


    Dan dalam keadaan berduduk itulah Naib Hassan menemui ajal setelah berulang kali dijirus dengan air mendidih.


    Dan Usin pula begitu bangga menceritakan kepada penduduk kampung bagaimana dia menamatkan riwayat seorang patriot.


    Diharap dengan nukilan ini maka terjawablah kemusykilan…kenapa sebagai cucu kepada Naib Hassan, aku pernah menyaran, melalui nukilan bertajuk ‘Chin Peng – Forgive and Forget’ agar rakyat Malaysia memaafkan kesilapan orang lain, khususnya Chin Peng. Kenapa?


    Kematian Naib Hassan, walaupun berpunca dari kerakusan komunis, tapi orang yang menamatkan riwayat Naib Hassan ialah orang Melayu/Banjar sendiri.


    ‘Man Cilak’ (peristiwa di Nyior Estate), teman seperguruan ‘Mat Indera’ (peristiwa Bukit Kepong) juga orang Melayu/Banjar.


    Tanpa penglibatan orang Melayu, mana mungkin komunis berani mengganas.


    Tiga tahun selepas kematian Naib Hassan, Usin menemui ajal dalam keadaan mengerikan. Badannya berkecai digilis trak tentera.


    NOTA KAKI:

    Untuk satu jangka masa, keluarga Man Cilak dipulaukan penduduk kampung. Man Cilak hilang tanpa berita, dan mungkin mati tanpa kubur.

    Ahmad ‘tarugul’, adik lelakinya pernah bertumbuk denganku masa di darjah satu kerana dia enggan memulangkan pensil dan pemadam yang dicuri. Dalam pergaduhan itu, batang hidungku patah dihentak dengan ‘rantang’ (mangkuk tingkat).


    Artikel asal : utuhpaloi.com