Selepas pertempuran berdarah antara KD Sri Selangor dan KKO Indonesia sekitar kawasan Rumah Api Raffles, KD Sri Perak ditugaskan meronda di Selat Melaka sebelum merentas Laut China Selatan untuk meneruskan rondaan di perairan Sabah dan Sarawak.
Semasa menyambut ulangtahun pertama pembentukan Persekutuan Malaysia, KD Sri Perak berada di perairan Sabah - meronda tanpa henti.
Peristiwa berdarah Kalabakan pada 29 Disember 1963 dan KD Sri Selangor pada 24 Julai 1964 masih segar dalam ingatan. Berbekalkan pengalaman pahit teman-teman seperjuangan, kami di laut begitu gigih menjalankan tugas memeriksa (boarding) setiap bot dan tongkang yang mencurigakan.
Kalau di Selat Singapura dan Selat Melaka, kami hanya berhadapan dengan musuh dari sebuah negara - Indonesia - tapi di Perairan Sabah kami terpaksa berhadapan dengan dua kemungkinan…satu dari negara yang menentang pembentukan Malaysia (Indonesia) dan satu lagi dari negara yang menuntut kedaulatan Sabah (Filipina).
Setelah dua bulan meronda, dan lebih seratus kali mebuat boarding, kami kembali ke pangkalan di Woodlands.
Zaman konfrontasi, kapal tidak diberi masa lama untuk bertambat di Ruthenia Jetty. Selepas dua hari, kami sudah kembali meronda Perairan Selat Melaka.
Kesian juga melihat senior yang sudah berkeluarga. Betapa tidak, setelah dua bulan berjauhan, mereka hanya diberi masa dua hari untuk melepas rindu. Berbeza dengan orang bujang yang menganggap kapal sebagai rumah kami.
Dalam salah satu siri rondaan di Selat Melaka, kami mengalami insiden serupa yang pernah menimpa KD Sri Selangor beberapa bulan sebelumnya. Apa yang membezakan antara dua peristiwa ini hanyalah korban jiwa yang mungkin menjadi punca kenapa kegemilangan KD Sri Perak tidak ternukil dalam lipatan sejarah TLDM.
Seperti yang kita semua maklum, KD Sri Perak hanya dikaitkan dengan tragedi di laut China Selatan hampir dua dekad kemudian.
Memandangkan tidak ramai yang mengetahui betapa gentingnya keadaan kami dimalam itu, maka saya terpanggil untuk berkongsi cerita semoga dapat dijadikan iktibar kepada generasi hari ini.
Selama ini, kita hanya mengetahui cerita bagaimana KD Sri Selangor pernah mematahkan cubaan KKO Indonesia menyeludup masuk ke negara kita.
Cerita KD Sri Perak yang berhadapan dengan lebih ramai penyeludup hanya dinukil dengan dua baris ayat yang saya petik dari laman sesawang Military of Malaysia.
“Pada 9 Januari 1965 kapal KD Seri Perak dalam satu rondaan Ops Seri Perak telah bertempur dengan bot musuh dekat Selat Melaka.
12 orang musuh Kor Komando Operasi Indonesia (KKO) berjaya dibunuh, manakala 16 lagi ditawan.”
Oleh itu, sebagai krew yang terlibat dalam kejadian, yang melihat sendiri ledakan meriam ‘A’ dan ‘Y’ gun serta tembakan musuh, saya akan ceritakan detik-detik cemas yang kami lalui. Dan terpulanglah kepada pembaca untuk menilai.
Sebelum memulakan cerita, terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada TLDM di atas pemberian buku “Serving The Nation”. Ucapan yang sama saya panjangkan kepada pegawai dan anggota KD Sri Pinang serta Jabatan Laut Utara kerana memberi kemudahan dan kerjasama dengan membenarkan saya mengguna carta B Admiralty 1358 dari One Fathom Bank (Rumah Api Permatang Sedepa) hingga ke Port Dickson dan seterusnya ke Melaka.
Dengan bantuan mereka, saya dapat membuat satu adaptasi tentang insiden tersebut di mana KD Sri Perak telah bertembung dengan sekumpulan KKO yang cuba menyeludup masuk melalui perairan Selat Melaka.
Kejadian itu yang berlaku sekitar 6 batu ke barat daya Cape Rachado (Tanjung Tuan) akan saya perincikan dalam nukilan akan datang.
Sebelum memulakan cerita, ingin saya nyatakan tentang percanggahan fakta (tarikh) insiden KD Sri Perak dengan yang terdapat di internet. Selain percanggahan tarikh, terdapat juga percanggahan tentang jumlah musuh (KKO) yang ditawan.
Bagaimana pula dengan fakta yang mungkin ada dalam simpananan TLDM? Hanya bahagian rekod TLDM sahaja yang tahu, itu pun kalau mereka masih menyimpan rekod-rekod tersebut.
Percanggahan bukan sahaja mengenai KD Sri Perak, tapi juga berkaitan ‘Black Joe’, seorang anggota TLDM yang begitu popular pada era 50an dan 60an.
Petikan dari NST:
He was the 637th man to be enlisted with the Royal Malayan Navy (RMN) in Singapore in July 1955, finishing off as a mine-laying and sweeping specialist with the rank of Chief Petty Officer in 1970.
Petikan dari internet:
Joe Challiah menamatkan perkhidmatan dengan TLDM pada tahun1966 sebelum terpilih menyertai Pasukan Komando Tentera Laut Republik Singapura.
Mana yang benar dan mana pula yang silap? Kepada mereka yang pernah berkhidmat dalam ATM tentunya dapat membuat kesimpulan tentang tarikh sebenar Black Joe menamatkan perkhidmatan dengan RMN…mula berkhidmat tahun 1955…tempoh perkhidmatan sama ada 10+2+1, 15, 18, 21 atau 22 tahun - add 2 & 2 together maka dapatlah jawapannya.
Begitulah juga harapan saya dengan apa yang diceritakan di bawah ini. Buatlah kesimpulan sendiri.
Awal Februari 1965…KD Sri Perak di bawah kendalian Lt Cdr B.E. Ibrahim Hydesmith ditugaskan meronda antara One Fathom Bankdan Tanjong Keling Melaka dalam operasi mencegah penyusupan KKO dari Indonesia.
Seminggu berlalu, namun tidak ada tanda-tanda percubaan KKO menyusp masuk ke Semenanjung.
Memang sudah menjadi amalan harian, menjelang senja, semua persenjataan termasuk rocket launchers disiap-sediakan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Seluruh kapal bergelap ataudarken ship. Nombor peannant juga tidak dipampang.
7 Februari 1965…ketika itu KD Sri Perak sedang berada (meronda) ke selatan Rumah Api One Fathom Bank dengan haluan 310 dan kelajuan 12 knot. Semasa afternoon watch, kami terlihat di port bow sebuah tongkang layar China menuju selatan tanpa bot tunda. Sighting ini dimaklumkan kepada Pegawai Memerintah.
Sebaik dimaklumkan, captain menukar haluan untuk merapat dan mengarahkan boarding party yang diketuai oleh Lt Ong Swee Jin (XO - RMNVR), dengan krew terdiri dari LRSM Pon (buffer), ABSM Abdullah ‘taik minyak’, ODSM Maksud Sutigu, ABME Mat Top, dan ABRO Ghaffar.
Hasil soal siasat, kami dimaklumkan bahawa tongkang yang sarat dengan muatan arang sedang dalam pelayaran dari Thailand ke Singapura. Taikong tongkang memberitahu bahawa bot tunda mereka bersama tiga orang krew bangsa Tionghwa telah dirampas oleh sekumpulan lanun dan dibawa ke arah Sumatera.
Selepas boarding kami meneruskan rondaan menghala ke selatan dengan haluan dan kelajuan sama. Dan begitulah yang KD Sri Perak lakukan – mundar mandir ke Utara dan Selatan - meronda siang dan malam di kawasan yang telah ditetapkan.
Selasa 9 Februari 1965…ketika saya mengambil alih tigas ‘Middle Watch’, kapal berada antara Port Dickson dan Rumah Api Cape Rachado (Tanjung Tuan). Seperti kelaziman, penyerahan dan pengambil-alihan tugas sentiasa diselangi dengan keriuhan dan gurau senda. Yang selesai bertugas seronok dapat tidur berselimut, yang mengambil-alih bersengkang mata selama 4 jam sebelum tiba giliran untuk merebahkan badan di atas bunk di mes hadapan atau belakang.
Seperti biasa, saya bertugas di Chart House memerhati Skrin Radar mencari contact. Lt Ong sebagai OOW, ABSM Abdullah @ Dollah ‘kambing’ dan ODSM Mat Rais bertugas di bridge sebagaiquartermaster dan lookout.
Jam 0030, setelah OOW mengambil Three Point Fix yang menunjukkan kapal berda pada kedudukan 12 batu nautika ke barat laut Tanjung Tuan, beliau kembali ke bridge. Pada masa yang sama saya dapat mengesan sebuah contact saiz sederhana dan terus melaporkan kepada pegawai bertugas. Beliau turun ke Chart Houseuntuk melihat sendiri pergerakan contact di skrin radar. Setelah membuat tracking, saya dapati contact yang berada 4 batu nautika di sebelah kanan kami bergerak dengan kelajuan 6 knot dan haluan 030.
Lazimnya kalau cuaca baik dan bulan terang, lookout di bridge akan dapat mengesan contact dengan binoculars. Dalam keadaan malam yang gelap gelita - tiada bulan dan tiada bintang di langit - ditambah dengan rebas hujan yang turun renyai-renyai, jarak penglihatan quartemaster terbatas.
Selama beberapa minit kami memerhati contact yang bergerak menuju ke arah rumah api Tanjung Tuan dengan haluan dan kelajuan sama.
Ketika contact berada 2 batu nautika dari kami, OOW memaklumkan kepada Captain melalui voice pipe yang bersambung dari bridgeterus ke kabin CO. Dengan pantas, Lt Cdr Hydesmith naik ke Chart House. Setelah mendengar laporan, beliau terus mengarahkan OOW membunyikan siren Action Station (stesen bertindak).
Sebaik terdengar bunyi siren action station, semua petugas rapat ke stesen masing-masing.
‘A’ gun diketuai oleh ABSM Abdullah @ Dollah ‘kambing’ sebagai loader, ABSM Tajudin ‘kop’ sebagai layer dan ODSM Mat Rais sebagai trainer. ‘Y’ gun diketuai oleh Buffer LRSM Pon sebagai loader, ABSM Abdullah ‘taik minyak’ sebagai layer dan ODSM Maksud Sutigu sebagai trainer.
Manakala di bridge, selain CO dan XO, Coxswain POSM Abdul Ghaffar memegang kemudi, ABRM Yahya mengendali HBSLR dan ABRG Gaffar. Di chart house, Midshipman Mohd Zawawi Adam meneliti chart dan saya membuat tracking dengan radar.
Pergerakan contact dilaporkan berterusan kepada CO. Berdasarkan jarak, hala dan kelajuan, saya memaklumkan kepada beliau bahawa dalam masa 15 minit KD Sri Perak boleh intercept contact. Walaupun jarak antara kami hanya sekitar 1,500 ela, tapi mereka seolah-olah tidak menyedari kehadiran kami. Dan kami pula masih belum dapat melihat dengan mata kasar contact yang diyakini adalah bot musuh, atau KKO yang cuba menyusup masuk.
Kenapa kami tak dapat melihat mereka walaupun dengan bantuanbinoculars? Dan kenapa kami yakin bahawa contact itu adalah bot musuh?
Lazimnya, walau segelap mana pun keadaan di laut, kalau sudah hampir (1500 ela), kami pasti dapat melihat cahaya dari navigation lightbot tersebut. Tapi memandangkan ianya memilih untuk bergelap, maka kami yakin bahawa bot itu bukan ‘friendly’.
Mengikut perkiraan radar, bot musuh sudah berada 800 ela dari kami. Apabila menghampiri 200 ela, kedengaran tembakan rocket flaredari port/starboard launcher yang dikendalikan oleh ABEM Yahya. Malam yang tadinya gelap gelita bertukar terang seperti siang.
Kini, semua anak kapal yang berada di bridge, chart house, ‘A’ dan ‘Y’gun dapat melihat dengan jelas silhouette sebuah bot tunda kayu berukuran lebih kurang 30 kaki panjang dengan tulisan SMFXXX jelas terpampang di dinding bot.
Setelah contact dapat dilihat dengan mata kasar, kedengaran melaluiintercom di bridge suara captain meriam Bofors hadapan dan belakang.“Bridge, A gun on target” disusuli dengan “Bridge, Y gun on target”.
Dengan pantas arahan tembakan ke sasaran dikeluarkan kepada ‘A’ gun namun dentuman yang dinanti tidak kedengaran. Sebaliknya suara captain ‘A’ gun pula yang memecah kesunyian “ Bridge, ‘A’ gun misfire”. Ketika itu saya merasa gentar dan cemas sebab ini adalah pengalaman pertama berhadapan dengan musuh.
Sejurus kemudian saya terdengar tembakan mesingun dari bot tunda. Midshipman Mohd Zawawi dan saya berada dalam keadaan lebih cemas kerana chart house tidak kalis perluru,
Apabila ‘A’ gun misfire, CO dengan pantas maneuver kapal untuk menukar haluan ke kiri dari bot musuh untuk memberi ruang kepada meriam Bofors di belakang bertindak. Salvo pertama yang meluncur keluar dari barrel ‘Y’ gun membuat mesingun di hadapan bot tunda terus senyap. Selepas itu CO membuat beberapa maneuver pantas untuk mendapatkan sudut broadside sebelah kanan musuh,
Selang tak berapa lama kedengaran tembakan dari ‘A’ gun. Dan KD Sri Perak back to full strength.
Dari tingkap chart house, saya beranikan diri melihat bot musuh terbakar diikuti dengan beberapa letupan dari tong drum minyak diesel di belakang bot. Ketika itu terbayang letupan yang pernah saya lihat dalam filem aksi James Bond “From Russia With Love”.
Kecekapan Lt Cdr Hydesmith sewajarnya diberi pujian kerana mengambil tindakan proaktif. Mungkin juga pengalaman pahit KD Sri Selangor yang begitu rapat dengan bot musuh membuatkan CO KD Sri Perak memilih untuk berada pada jarak yang selamat.
Laut di sekeling terus terbakar. Bot musuh yang sudah tak dapat melawan mula senget sebelum hilang ditelan Laut Selat Melaka kira-kira 30 ela dari kami.
Sayang sekali tidak ada sebarang senjata atau kelengkapan lain yang boleh dijadikan bukti selain beberapa keping gambar KKO yang ditawan. Mereka ini sempat terjun ke laut sebelum dijilat api. Mengikut perkiraan, bot KKO itu tenggelam pada kedudukan Latitude 02˚ 21΄North, Longtitude 101˚ 44΄ East – 6 batu nautika dari Rumah Api Tanjung Tuan.
Selain kegelapan malam, apakah punca bot KKO tidak menyedari kehadiran kami?
Saya berpendapat kemungkinan komando-komando Indonesia itu sedang tidur kerana keletihan. Apabila flare menyala, mereka terkejut dan tak sempat bertindak.
Setelah bot musuh tenggelam lebih kurang jam 0130, operasi mencari dan menyelamat di gerakan. Saya turun dari chart house dan pergi kequarterdeck untuk memberi bantuan bersama pasukan pertolongan cemas (First Aid) yang diketuai oleh LR Steward Harun dan ODCK Mohd Noor, tukang masak yang memiliki wajah mirip pelawak M Zain.
Dalam operasi itu kami berjaya menyelamatkan 10 orang. 9 orang dari Regiment KKO di mana dua dari mereka cedera parah, dan seorang bangsa Tionghua yang dipercayai adalah tekong bot tunda yang telah dirampas dan dilarikan ke Pulau Medang oleh KKO tempoh hari.
KKO yang terselamat diikat dengan heaving lines dalam keadaan berangkai dan di tutup dengan oil skin rain coat untuk melindungi mereka dari kesejukan. Pagi esoknya, mereka diserahkan kepada bot ronda Polis Merin off Tanjung Keling.
Dari maklumat soal siasat, seramai 41 anggota Regiment KKO dengan 3 anak kapal bot tunda berlepas dari Pulau Medang Sumatera lebih kurang jam 1900 hrs. Jarak antara Tanjung Medang ke Tanjung Tuan hanya lebih kurang 22 batu nautika. Saya berpendapat bot tunda yang dinaiki KKO mengambil masa lebih kurang tiga setengah jam untuk masuk ke perairan Malaysia. Dengan berpandukan Rumah Api Cape Rachado yang boleh dilihat sejauh 23 batu nautika, mereka cuba mendarat di pantai dengan tujuan yang sudah dirancang.
Di baju KKO berwarna hijau terdapat lambang kepala lembu dengan tulisan TNM. Mungkinkah TNM bermaksud Tentera National Malaya?
Keesokan harinya, KD Sri Perlis mengambil alih tugas pembersihan. Difahamkan, mereka berjaya menemui berberapa mayat KKO terapong di laut sekitar kawasan pertempuran.
Setelah berjaya mematahkan percubaan penyusupan KKO, KD Sri Perak kembali ke pangkalan di Woodlands sebagai wira Royal Malaysian Navy. Ketibaan kami disambut oleh pancaragam Royal Marines.
Pagi berikutnya, CPOERA Habarjan Singh memaklumkan kepada CO tentang beberapa kesan tembakan di sebelah starboard engine room(sebelah kanan bilik jentera).
Terfikir juga, kalaulah tembakan mesingun KKO terarah ke chart housedan bridge, mungkin juga ada antara kami yang terkorban atau tercedera, seperti yang menimpa KD Sri Selangor. Tapi kerana kepintaran CO, dan dibantu dengan ketangkasan krew, maka musuh dapat ditumpaskan tanpa perlu membayar harga yang tinggi.
Tanpa perlu membayar harga yang tinggi? Dan tanpa memerlukan tiupan bugle ‘last post’ di pusara.
Mungkinkah itu sebabnya kenapa tidak ramai yang mengetahui insiden ini selain kami yang terlibat, yang berada di ambang maut malam itu?